Jelajah kempen ketiga-tiga pemimpin utama parti komponen Pakatan Harapan (PH) hari ini dilakukan di DUN Rim, Duyong dan Telok Mas.
Berbeza dengan lawatan pada hari-hari kempen pilihan raya yang biasa, pimpinan Majlis Presiden PH itu tidak boleh merayu undi, apatah lagi berceramah untuk membantu memperkenalkan calon kepada pengundi.
Hal yang boleh dilakukan hanyalah bersua muka, beramah mesra dan makan minum bersama pengundi di restoran sambil diperhatikan oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak polis.
Dalam program ramah mesra di sebuah kedai kopi Tionghua di Ujung Pasir, DUN Telok Mas petang tadi Anwar sempat berseloroh tidak dibenar berkempen politik, denda yang menanti RM10,000
"Tak boleh ceramah. Duduk saja, cakap saja RM4,000. Saya dengan Guan Eng kalau cakap RM10,000," katanya disambut ketawa pengunjung kedai kopi berkenaan.
Anwar bersama Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bersama calon Amanah, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat (gambar atas, kanan) kemudiannya duduk di 3 meja yang disambungkan dan menjamah roti bakar.
Dalam perbualan tersebut Pengerusi PH itu sempat bergurau jika calon Telok Mas tidak buat kerja selepas menang maka 'kena lesing' dan menggayakan siku sebagaimana yang sering diucapkan beliau dalam ceramah umum sebelum ini dan disambut ketawa penyokong.
Jelajah tersebut diteruskan ke sebuah medan selera di DUN Duyong bersama calon DAP, Damian Yeo Shen Li atau lebih dikenali sebagai Baba Yeo.
Baba Yeo dalam misi mempertahankan Duyong dan sebelum ini mengakui agak sukar bertemu pengundi untuk memberitahu tawaran manifesto PH
Di Duyung, Anwar dihadiahkan dua keping potret, beliau dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yang dilukis oleh penduduk tempatan.
Majlis di sana juga berkisar kepada perbualan biasa, berseloroh dan makan minum tanpa ceramah atau merayu undi.
Segala aktiviti pemimpin PH dipantau ketat oleh pegawai SPR dan pihak polis yang hadir.
Comments