Jelajah Harapan Urang Sabah mantap kerjasama jentera PH, GRS, BN di Tenom
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 2 min read

Program Jelajah Harapan Urang Sabah yang berlangsung di Tenom semalam menyaksikan semangat kebersamaan antara jentera Pakatan Harapan (PH), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Program itu turut dihadiri Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, selepas menyempurnakan pertemuan bersama jentera di DUN Sindumin, Sipitang.
Hadir sama Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah, Datuk Ts Mustapha Sakmud, Timbalan Pengerusi JPRN Sabah, Cikgu Abdul Rahman Yakub, dan Ketua Cabang KEADILAN Tenom, Saudara Herbert London, bersama jentera Harapan, GRS serta BN.
Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran yang turut hadir dan merupakan wakil rakyat angkat bagi kerusi DUN Melalap, menzahirkan rasa kagum terhadap semangat perpaduan yang dipamerkan oleh semua pihak sepanjang jelajah tersebut.
"Saya kagum dengan kebersamaan jentera PH dan GRS di Jelajah Harapan Urang Sabah. Di DUN lain juga, kerjasama PH bersama Barisan Nasional juga berderap siap siaga," katanya dalam muat naik di media sosial.

Beliau menegaskan bahawa KEADILAN merupakan sebuah parti yang mencerminkan kemajmukan rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum, sejajar dengan identiti Malaysia yang inklusif.
R Yuneswaran juga memuji kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang komited menunaikan janji terhadap Sabah melalui pelaksanaan 13 daripada tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Komitmen Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri terbukti di mana setakat ini Kerajaan Madani sebagai kerajaan persekutuan telah menunaikan 13 tuntutan MA63 kepada negeri Sabah, tampak pentadbiran PMX begitu signifikan dan paling aktif membuat kemajuan melaksanakan beberapa tuntutan ini," jelasnya.
Yuneswaran berharap momentum kebersamaan jentera akan terus dikekalkan menjelang PRU DUN Sabah, dengan penamaan calon pada 15 November, undi awal 25 November, dan hari pengundian pada 29 November 2025.





