Jelajah AI MyMahir: Perkukuh persediaan tenaga kerja masa depan - Ramanan
- Suara Keadilan

- Jan 17
- 2 min read

Program Jelajah AI MyMahir terus mencatat kejayaan apabila seramai 1,000 peserta berjaya dilatih setakat ini, dengan separuh daripada mereka telah memperoleh sijil kemahiran kecerdasan buatan (AI) selepas menamatkan kesemua lima modul pembelajaran yang ditetapkan.
Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri R Ramanan, berkata pencapaian itu membuktikan keberkesanan program berkenaan dalam memperkasa kemahiran digital rakyat selari dengan keperluan semasa pasaran kerja.
"Yang membanggakan 500 daripada 1,000 peserta itu sudah mendapat sijil. Untuk dapat sijil kena lengkapkan lima modul. Jadi mereka berjaya habis lima modul.
"Juga antara 1,000 peserta itu kita telah jalankan (kelas) di Kota Kinabalu, Sepanggar, Kapar, Bangi dan Sungai Buloh," katanya sempena Majlis Pelancaran Jelajah AI MyMahir di Parlimen Sungai Buloh, petang tadi.
Mengulas kepentingan latihan AI, Ramanan menegaskan bahawa kemahiran kecerdasan buatan merupakan keperluan masa depan tenaga kerja dan tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan.
"Ramai bertanya mengapa kita pakai AI? AI adalah masa depan dunia pekerjaan. Jadi latihan AI ini untuk memastikan kita tidak ketinggalan. Sekarang dalam pekerjaan semuanya pakai komputer bukan macam dulu kita pakai pen, kertas atau buku," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh.
Beliau menambah bahawa kemahiran AI akan menjadi salah satu keperluan asas dalam kehidupan dan kerjaya pada masa hadapan bagi memastikan rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam arus pendigitalan global.
Pada majlis tersebut, beliau turut memaklumkan bahawa kira-kira 700 peserta telah mendaftar untuk menyertai Jelajah AI MyMahir di Sungai Buloh dan kesemua mereka telah menamatkan modul pertama.
"Saya yakin berdasarkan perbualan dengan peserta, mereka berminat untuk meneruskan kesemua lima modul dan seterusnya memperoleh sijil kemahiran AI," katanya.
Bagi menyokong pelaksanaan program ini, katanya, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM110 juta bagi latihan AI di bawah inisiatif MyMahir, yang dijangka memberi manfaat kepada 22,000 rakyat Malaysia.
"Saya dimaklumkan kos latihan seumpama ini di luar boleh mencecah RM5,000 (seorang) namun melalui TalentCorp, kelas ini disediakan secara percuma," jelas beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa program Jelajah AI MyMahir terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan latar belakang.









Comments