top of page

Jawatankuasa antara agama: Sesi libat-urus penting halusi peraturan rumah ibadat

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • Jun 9
  • 2 min read

Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS) disaran mengadakan sesi taklimat dan libat urus bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) bagi memperincikan cadangan Garis Panduan Rumah Ibadat Bukan Islam sebelum ia dimuktamadkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).


ADN Kajang, David Cheong Kian Young berkata, Melalui inisiatif LIMAS itu, mereka akan dapat memperoleh maklumat primer yang tepat dan sahih daripada pihak berkuasa.


Katanya, langkah tersebut amat penting bagi mengelakkan sebarang salah faham, kekeliruan, mahupun manipulasi maklumat yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat di peringkat akar umbi.


"Apabila para wakil rakyat telah dibekalkan dengan kefahaman yang jelas melalui sesi tersebut, kami seterusnya dapat bertindak sebagai jambatan maklumat untuk membantu pihak kerajaan negeri memberikan penerangan yang komprehensif dan tepat kepada rakyat di kawasan masing-masing.

David Cheong Kian Young
David Cheong Kian Young

"Malah, amat diharapkan agar setiap ADN yang hadir juga dibekalkan dengan salinan laporan muktamad tersebut sebagai rujukan rasmi dalam penemuan dan gerak kerja bersama komuniti kelak.


"Sesi libat-urus ini amat kritikal bagi memastikan suara dan realiti sebenar di lapangan diperhalusi. Melalui proses musyawarah yang telus ini, kita mampu melahirkan satu garis panduan yang holistik demi kestabilan serta keharmonian negeri Selangor," katanya menerusi satu kenyataan.


Dalam pada itu, David berkata, beliau sememangnya menyokong usaha Kerajaan Selangor untuk mengemas kini dan mengubah suai Garis Panduan Rumah Ibadat Bukan Islam yang baharu.


Beliau yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional Negeri Selangor menyifatkan, langkah proaktif itu amat bertepatan pada masanya bagi memastikan setiap regulasi sentiasa relevan, dinamik, dan selari dengan acuan perubahan suasana pembangunan fizikal serta sosial di negeri tersebut.


"Dalam menuju status negeri pintar dan maju, keharmonian masyarakat majmuk tidak boleh dipinggirkan. Oleh itu, amatlah wajar bagi sebuah pentadbiran di bawah prinsip Kerajaan MADANI untuk merangka garis panduan yang mengambil kira serta menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.


"Setiap intipati dalam garis panduan ini seharusnya menghayati dan menterjemahkan semangat Rukun Negara serta Perlembagaan Persekutuan secara menyeluruh.


"Dasar yang digubal juga kelak mestilah berpaksikan prinsip yang adil, telus, dan saksama. Ini penting bagi memastikan kebajikan dan hak segenap lapisan warga Selangor sentiasa dipelihara, sekali gus mencerminkan wajah Selangor yang inklusif dan prihatin terhadap sensitiviti masyarakat pelbagai kaum," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page