top of page

Jasa dikenang: Agensi, netizen zahir penghargaan kepada Tok Min

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 day ago
  • 3 min read

Ibarat kata pepatah budi yang baik dikenang juga. Begitulah juga dengan segala jasa dan khidmat cemerlang mantan Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (gambar).


Meskipun Pakatan Harapan (PH) hanya mampu mempertahankan 11 daripada 17 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, sekali gus menamatkan pentadbiran MB Aminuddin sejak 2018, orang ramai tetap mengenang jasa baik beliau sepanjang menerajui negeri.


Sejak kelmarin, pelbagai agensi dan jabatan kerajaan serta badan berkanun di Negeri Sembilan merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Aminuddin atas jasa bakti dan kepimpinan beliau sebagai Menteri Besar.


Walaupun Menteri Besar baharu Datuk Ismail Lasim telah mengangkat sumpah jawatan, agensi utama seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Perbadanan Menteri Besar (MBI) tidak ketinggalan memuat naik hantaran dan poster merakamkan penghargaan kepada Aminuddin.


"Sungguh tangguh menuai padi, singsing lengan ikat ke tepi; banyak sungguh menabur berbudi, jasa dan kenangan tersimpul rapi," demikian serangkap pantun dititipkan Pejabat SUK Negeri Sembilan dalam hantaran di Facebook rasminya.


Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban menerusi kenyataan bertajuk "Terima Kasih & Jasamu Dikenang, Tok Min" merakamkan penghargaan kepada Aminuddin Harun atas segala jasa, sokongan dan kepimpinan yang dicurahkan sepanjang menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.


Warga kerja dan pengurusan tertinggi HTJ turut mendoakan agar beliau sentiasa dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan pada masa akan datang.


Sementara itu, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) turut merakamkan penghargaan kepada Aminuddin Harun atas pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2026 serta pengumuman Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri.


Pengarah PPANS, Hamdan Nordin berkata pengumuman tersebut mencerminkan keprihatinan beliau terhadap kebajikan penjawat awam dan menjadi suntikan semangat kepada warga kerja untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Ucapan tersebut disampaikan oleh Pengarah PPANS, Hamdan Haji Nordin, bersama seluruh warga kerja.


Dalam perkembangan sama, Pejabat Daerah dan Tanah Jelebu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Aminuddin Harun atas jasa, bakti dan khidmat cemerlang sepanjang menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.


Agensi itu menyifatkan sumbangan beliau sebagai kenangan bermakna buat negeri dan rakyat serta mendoakan agar segala pengorbanan yang dicurahkan diterima sebagai amal jariah.


Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains)turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Aminuddin atas segala jasa, kepimpinan dan khidmat bakti sepanjang menerajui pentadbiran Negeri Sembilan.


"Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan," katanya.


Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan juga tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih atas segala jasa, komitmen dan kepimpinan sepanjang menyandang amanah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan ke-11.


"Segala sumbangan yang telah dicurahkan demi kemajuan Negeri Sembilan akan sentiasa dikenang. Terima kasih atas segala bakti," ujarnya.


PlanMalaysia Negeri Sembilan pula antara agensi Persekutuan yang merakamkan penghargaan kepada Aminuddin atas segala jasa, bakti dan kepimpinan dalam memacu pembangunan serta kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan.


Di ruangan komen media sosial, sentimen sama turut dizahirkan orang ramai.


"Rehatlah Tok daripada lelahnya politik. Jasamu sentiasa dikenang. Terima kasih banyak menyokong kami peguam-peguam Muslim Negeri Sembilan," ujar Norjabila Abu Bakar.


"Tok Min banyak membantu institusi agama Negeri Sembilan, terutama berkaitan guru-guru KAFA. Isteri saya sendiri turut menerima manfaatnya," kata Azhafizan Dejavu.


"Luar biasa... semua beri penghargaan. Mungkin ramai terasa ketiadaannya sebagai Menteri Besar," komen Nur Misuari.


Gelombang penghargaan itu turut menarik perhatian ramai apabila beberapa netizen menyifatkan situasi tersebut sebagai sesuatu yang jarang berlaku, apabila pelbagai agensi kerajaan tampil secara terbuka menghargai seorang bekas Menteri Besar.


"Banyak agensi beri penghargaan kepada Tok Min," kata pengguna Facebook, Abah Mia Mikhail Mifzal.


Habib Ajami berkata sebagai orang luar Negeri Sembilan, beliau lihat banyak agensi beri penghargaan kepada Tok Min.


Selain menghargai kepimpinan beliau, ada juga netizen yang mengimbau pelbagai inisiatif kebajikan yang diperkenalkan sepanjang pentadbirannya.


"Terima kasih Tok Min. Pentadbiran terbaik selama lapan tahun untuk Negeri Sembilan," kata Siti Noraini Mahabob.


"Lepas ini staf MAINS mungkin tidak lagi merasai bonus tiga bulan gaji. Terima kasih Tok Min," ujar Kamzzar Zar.


Sementara itu, Joey Lim berpendapat ucapan penghargaan daripada pelbagai agensi membuktikan Aminuddin merupakan seorang pemimpin yang dihormati dan disayangi.


"Selama ini jarang berlaku apabila seorang Menteri Besar tidak lagi memegang jawatan, pelbagai pihak tampil mengucapkan penghargaan secara terbuka. Ini menunjukkan Tok Min seorang pemimpin yang berintegriti dan disayangi ramai.


"Cuma beliau jadi magsa mainan politik perkauman….terima kasih Tok Min Semoga Allah SWT kurniakan kesihatan yang baik, keberkatan rezeki, dan ketenangan jiwa buat Tok Min sekeluarga."

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page