JaPen, JKOM perlu perkemas cara salur maklumat kepada rakyat
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 1 min read

Jabatan Penerangan (JaPen) dan Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) digesa memperkemas penerangan agar pencapaian kerajaan serta isu semasa lebih mudah difahami rakyat.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata beberapa pencapaian termasuk pertumbuhan ekonomi Malaysia 6.0 peratus bagi suku kedua 2026 merupakan pencapaian membanggakan terutama ketika dunia berdepan pelbagai isu geopolitik yang tidak menentu.
"Walau bagaimanapun, angka-angka besar jika tidak diterjemah dan dinikmati oleh rakyat, ia tiada makna.
"Apa yang diharapkan, JaPen dan JKOM terutamanya bantu jelaskan bagaimana angka besar ini dinikmati oleh rakyat. Bagaimana berita baik ini dapat dinikmati oleh rakyat?" katanya dipetik pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi bulan Ogos 2026, di Putrajaya.
Dalam ucapannya, Fahmi mengakui cabaran komunikasi kini semakin kompleks ekoran kewujudan bot dan akaun palsu yang boleh mengelirukan persepsi rakyat terhadap sesuatu isu.
Justeru, beliau menggesa Kementerian Komunikasi agar bertindak lebih proaktif dalam mengenal pasti keresahan rakyat supaya penerangan yang tepat dan berkesan dapat disampaikan.
Beliau turut menegaskan bahawa pencapaian kerajaan—seperti peluang pekerjaan dan kawalan harga barang—perlu disampaikan secara jelas agar impak positifnya benar-benar dirasai oleh rakyat.
"Kita perlu kesan isu yang dekat di hati rakyat. Ketika kita menyampaikan berita pertumbuhan ekonomi, rakyat mungkin lebih terkesan dengan isu harian seperti jalan berlubang, jambatan rosak, sekolah daif, atau perkara yang menyentuh emosi mereka.
"Oleh itu, peranan kita adalah untuk membantu kementerian lain memastikan maklumat sampai dan difahami oleh rakyat," tambahnya.




Comments