Janji syurga: Pas amal politik ghuluw eksploitasi sentimen agama - AMK Kedah


Kenyataan seorang pemimpin kanan Pas yang mengaitkan tindakan menyokong parti itu dengan balasan ‘syurga’ memberi tempias kepada Umno-BN untuk memperjelaskan pendekatan politik ghuluw rakan gabungannya.
Bagi Ketua Angkatan Muda (AMK) KEADILAN Kedah, Mohammad Fitri Ismail, Pakatan Harapan (PH) telah lama tidak sehaluan dengan kaedah perjuangan politik Pas sehingga terpaksa berpisah dari parti berkenaan pada 2014 lalu.
Sejak itu, katanya PH sering menjadi sasaran politik takfiri parti tersebut sehinggakan sesiapa yang tidak bersama Pas dengan mudah dilabel sebagai tidak cukup Islam, tidak memperjuangkan Melayu, liberal, sekular dan pelbagai gelaran lain.
"Sekarang apabila Umno sendiri mula terkena permainan yang sama, barulah mereka nampak bahayanya.

"Politik yang mendakwa undi parti tertentu membawa ke syurga, atau membina persepsi bahawa hanya kelompok tertentu layak memimpin sebab lebih Islam, (itu) bukan politik Islam.
"Itu adalah eksploitasi sentimen agama untuk menguasai pemikiran dan mendapatkan undi. Islam tidak pernah memberikan mandat kepada mana-mana parti politik untuk menjadi 'ejen penapis' pintu syurga," katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, menurut Mohammad Fitri, PH tidak mengamalkan pendekatan seperti Pas yang menggabungkan hal agama dan politik, sebaliknya mendapatkan mandat rakyat berdasarkan dasar, prestasi, keupayaan mentadbir serta tawaran masa depan negara.
"Bezanya jelas, PH tidak pernah meminta rakyat menyokong kerana menjanjikan syurga. Agama sepatutnya membentuk akhlak pemimpin, bukan menjadi alat untuk mengugut pengundi.
"Mungkin inilah pengajaran paling mahal buat Umno apabila politik agama dibiarkan menjadi senjata untuk menyerang lawan.
"Jangan terkejut apabila satu hari nanti senjata itu dihalakan kepada diri sendiri pula," kata beliau yang juga Ketua AMK Merbok.




Comments