Jangan tunggu PRU, bina hubungan parti dengan kerajaan dari sekarang
- Sidiqin Omar

- 1 day ago
- 3 min read

KEADILAN tidak boleh menunggu sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang untuk membina hubungan antara struktur parti dengan kerajaan, sebaliknya jaringan itu perlu diperkukuh mulai sekarang.
Pembahas Pahang, Hilmy Yakap (gambar) berkata hubungan yang kukuh antara cabang, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan agensi kerajaan penting bagi memastikan dasar serta program kerajaan MADANI dapat disampaikan secara berkesan hingga ke akar umbi.
Beliau berkata, masih terdapat ketua cabang dan pimpinan parti yang tidak mengenali pegawai kerajaan di kawasan masing-masing, termasuk pegawai Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), pejabat daerah, Jabatan Komunikasi (J-Kom) dan NADI.
"Ini baru tiga kementerian. Pakatan Harapan ada 32 menteri dan timbalan menteri, manakala KEADILAN mempunyai 16, DAP 12 dan Amanah empat. Persoalannya, sudahkah cabang-cabang kita mempunyai hubungan dengan semua kementerian ini?
"Kalau esok ada program kementerian di kawasan kita, adakah ketua cabang orang pertama yang dihubungi pegawai menteri?
"Kalau jawapannya tidak, kita perlu bertanya di manakah sebenarnya kedudukan anggota parti dalam ekosistem kerajaan?" katanya ketika membahaskan Usul Pentadbiran: Hubungan Parti pada Kongres Nasional KEADILAN di MITC, Melaka hari ini.
Menurut Hilmy, isu berkenaan bukan semata-mata masalah komunikasi, tetapi berpunca daripada struktur akar umbi parti yang belum benar-benar berada dalam lingkungan pentadbiran kerajaan.
Katanya, tanpa mandat dan peranan yang jelas di peringkat tempatan, cabang sukar menjadi jambatan berkesan antara kerajaan dengan rakyat.
Beliau mengambil contoh Pahang yang mempunyai lebih 600 ketua kampung selepas pembentukan kerajaan pada
2022, namun hanya lima kuota diberikan kepada KEADILAN.
"Ini bukan soal siapa dapat jawatan. Ini soal adakah parti ini mempunyai representasi dan ‘local standing’ yang cukup dalam pentadbiran.
"Kalau kita tidak ada ‘local standing’, bagaimana kita mahu mendapat maklumat program kerajaan? Bila maklumat tidak sampai ke akar umbi, kita tidak boleh menjadi jambatan yang berkesan," katanya.
Hilmy berkata, KEADILAN juga perlu menamakan calon lebih awal serta melantik penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen bagi membolehkan persiapan pilihan raya dilakukan secara lebih tersusun.
Beliau turut mencadangkan supaya MPN berperanan sebagai jambatan rasmi antara parti dengan kerajaan melalui kunjungan hormat yang tersusun kepada kementerian bukan sahaja diterajui menteri KEADILAN, malah kementerian dalam kerajaan Pakatan Harapan secara keseluruhannya.
Katanya, kunjungan berkenaan bertujuan untuk memahami dasar, program dan bentuk bantuan kerajaan yang boleh disampaikan kepada rakyat.
Hilmy turut memberikan contoh program karnival kerjaya dan pelancaran Sahabat MADANI di Kuantan yang menurutnya berjaya membuka lebih 6,000 peluang pekerjaan kepada anak muda Pahang melalui kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
"Dengan Sahabat MADANI dan Khidmat Malaysia sebagai tekong, kita boleh mobilisasi sehingga ke akar umbi. Kita bukan sahaja boleh sampai kepada anak muda di bandar Indera Mahkota, tetapi juga di kampung, Felda dan kawasan luar bandar.
"Barulah anak muda boleh melihat bahawa parti ini adalah jambatan antara mereka dengan kerajaan Persekutuan," katanya.
Menurutnya, pencapaian itu membuktikan apabila struktur parti berfungsi sebagai jambatan antara kerajaan dengan rakyat, manfaatnya dapat dirasai terus di peringkat akar umbi.
"Bila kerajaan ada program, parti bawa turun. Bila rakyat ada masalah, parti bawa naik. Bila rakyat perlukan bantuan, parti tahu pintu mana yang perlu diketuk. Inilah hubungan parti dan kerajaan yang kita mahu," katanya.
Hilmy menegaskan KEADILAN tidak boleh lagi mengamalkan pendekatan ‘business as usual’ sekiranya mahu memastikan agenda reformasi benar-benar dirasai anggota parti dan rakyat.
"Masa depan KEADILAN tidak ditentukan di Putrajaya. Masa depan KEADILAN ditentukan di cabang, di flat-flat dan di kampung-kampung.
"Jangan takut untuk beri mandat kepada akar umbi. Reformasi mesti dirasai oleh cabang, AMK, Wanita dan akhirnya oleh rakyat," katanya.




Comments