'Jangan salahkan PM, samakan pelantikan Ketua Hakim Negara, Ketua SPRM'
- Suara Keadilan
- 9 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pelantikan dan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak wajar disamakan kerana tertakluk kepada undang-undang dan peruntukan Perlembagaan yang berbeza sama sekali.
Aktivis Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, era Kerajaan MADANI menyaksikan komitmen jelas kerajaan dalam memastikan institusi kehakiman kekal bebas dan tidak tunduk kepada sebarang tekanan politik.
Beliau berkata, fakta mudah yang mesti difahami adalah pelantikan dan persaraan hakim tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, Perkara 125(1) Perlembagaan menyatakan umur persaraan wajib ialah 66 tahun dan 6 bulan.
''Tun Maimun bersara mengikut undang-undang. Bukan dipecat atau disingkir (untuk dipertikaikan). Ini penghormatan, bukan konspirasi.
''Datuk Seri Anwar tidak campur (tangan) dalam sebarang kes melibatkan mahkamah (begitu juga hakim). Kes Datuk Seri Najib Razak (SRC), Syed Saddiq, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Lim Guan Eng semuanya dibicara dan diputuskan ketika PMX jadi Perdana Menteri.

''Tetapi PMX tak pernah arah, desak atau minta rayuan ditarik atau keputusan dibincang.
''Kalau betul PMX campur tangan, Najib sudah bebas hari ini.. tetapi tidak,'' katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pembangkang telah mencipta naratif yang salah dengan memainkan sentimen 'dua darjat' berhubung tempoh perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang dilanjutkan sedangkan Tun Maimun tidak diberikan lanjutan.
Tegas Syam Ghaz, Ketua SPRM berada di bawah bidang kuasa PM. Manakala Ketua Hakim Negara pula merupakan ketua institusi kehakiman yang berasingan, dan pelantikannya dibuat melalui Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC). Bukannya semata-mata mengikut budi bicara PM untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan.
''JAC ditubuhkan pada 2009 ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, namun penubuhan itu berlaku dalam konteks tekanan reformasi politik yang kuat daripada pembangkang khususnya Pakatan Rakyat (PR) pada waktu itu, serta desakan awam pasca krisis kehakiman 1988 dan skandal kehakiman era 1990-an dan 2000-an.
''Akibat tekanan politik yang kuat, PR menang 82 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum tahun 2008, Barisan Nasional (BN) hilang majoriti 2/3 buat kali pertama sejak 1969, hanya menang 140 kerusi.
''Datuk Seri Anwar selaku Ketua Pembangkang ketika itu. Kemudian Akta 695 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 diluluskan, sekali gus menyaksikan pembangkang sangat berperanan di Parlimen dan JAC mula berkuat kuasa pada 1 Februari 2009 sehingga sekarang," katanya.
Jelas Syam Ghaz, sambungan kontrak tidak boleh dilakukan secara segera kepada jawatan Ketua Hakim Negara sebagaimana jawatan lain.
''Tiada tradisi sambungan automatik bagi Ketua Hakim Negara, Oleh itu, jika Tun Tengku Maimun tidak disambung selepas 1 Julai 2025, ia adalah amalan biasa dan bukan juga satu bentuk tekanan atau campur tangan politik,'' ujarnya lagi.
Untuk rekod, Ketua Hakim Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong di atas nasihat PM berdasarkan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan dan bukannya atas kuasa PM semata mata sebagaimana yang cuba dibayangkan oleh pembangkang.