
Pandemik Covid 19 yang melanda negara selaam 2 tahun meninggalkan kesan besar kepada pesakit-pesakit yang pernah dijangkiti.
Menurut Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, biar pun jangkitan semakin menurun dan 90% warganegara dewasa telah divaksinasi namun tidak semestinya seseorang tidak boleh dijangkiti.
"Covid ini kita dah rasa selamat, pakai pelitup muka, basuh tangan dan penjarakan. Kita dah vaksin tetapi tidak bermakna kita kebal 100%, kalau terkena kita banyak redha dan berdoa.
"Covid adalah satu yang menjejaskan hidup kita. Apa pun kita jangan putus asa. Sebelum ini saya baca surah Maryam, ibu pada Nabi Isa a.s yang suci murni, tidak pernah disentuh lelaki tetapi Allah uji dia. Maryam wanita suci tetapi Allah uji dia dengan anak, dan anak itu mukjizatnya bercakap masa bayi lagi, itu menunjukkan dia seorang Nabi.
"Tetapi kadang kita dalam hidup diberi ujian, kita rasa nak give up semua. Apa yang saya katakan dengan Maryam, bila dia nak melahirkan, dia sakit. Tetapi malaikat Jibrail goyang pokok kurma dan jatuhkan kurma itu untuk makan.
"Dia pun tak tahan tetapi jangan putus asa, Allah itu sentiasa ada. Allah beri kita nyawa, jangan kita rasa tidak ada jalan keluar. Allah tidak beri ujian lebih daripada apa yang kita sanggup," katanya dalam majlis yang mengumpulkan beberapa pesakit Covid bagi berkongsi pengalaman dan motivasi Anjuran Pertubuhan Kepedulian dan Keperihatinan Insan Malaysia, di Tasik Puteri, Rawang, petang semalam.
Selain itu, Dr Wan Azizah juga turut menceritakan pengalaman peribadinya sebagai pesakit batuk kering atau lebih dikenali sebagai TB.
Katanya, beliau menghadapinya dengan tabah dan ketabahan itu juga berguna dalam pengalaman selanjutnya hidup beliau apabila suaminya dipenjarakan dan kemudian pada 2020 hilang jawatan Timbalan Perdana Menteri akibat pengkhianatan.
"Sekali lagi mangsa atau bekas pesakit Covid. Saya dulu bekas pesakit TB. Masa habis bertugas sebagai seorang doktor saya kena TB.
"2 tahun saya ambil ubat. Jangan putus asa. Saya sudah lalui masa saya muda, ini menunjukkan penyakit ini satu ujian yang kita perlu lalui. Jaga diri tetapi kalau kita diduga sabar dan syukur," katanya lagi.
Dalam majlis tersebut NGO Anjuran Pertubuhan Kepedulian dan Keperihatinan Insan Malaysia yang dipengerusikan Puan Noorsham turut memberikan sumbangan kepada mangsa Covid 19.
Comments