top of page

Jangan naik bendera putih, kibar bendera biru: 'Kesusahan rakyat jadi bahan jenaka PM?'


Ungkapan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin dalam majlis Pelancaran Bakul Makanan Prihatin Negara semalam, 'jangan naikkan bendera putih, bendera hitam, naikkan bendera biru' jelas suatu penghinaan kepada penderitaan rakyat.


Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Akmal Nasir, tidak wajar seorang PM yang mahu dihormati, dalam suasana rakyat bertarung nyawa menghadapi Covid 19 mempolitikkan isu bendera kecemasan.


Kata Akmal, bendera putih yang dimaksudkan Mahiaddin adalah kempen rakyat membantu sesama rakyat manakala bendera biru adalah logo Perikatan Nasional (PN), dan hal itu tidak wajar dijadikan bahan gurauan.


"Bendera putih merupakan simbolik rakyat yang terdesak.


"Dalam kempen ini bukan sahaja bakul makanan, malah ada yang memerlukan susu kanak-kanak, lampin pakai buang dan sebagainya.


"Inisiatif ini digerakkan berikutan peningkatan kes bunuh diri akibat tekanan kerana kehilangan punca pendapatan. Mereka yang memerlukan bantuan diminta untuk mengibarkan bendera putih agar jiran tetangga dapat membantu.


"Manakala bendera hitam yang dimaksudkan Mahiaddin adalah gerakan protes rakyat terhadap kegagalan kerajaan menangani Covid-19 serta menjaga kebajikan rakyat. Bendera biru yang beliau maksudkan adalah bendera Perikatan Nasional.


"Adakah kesusahan rakyat hari ini jadi bahan jenaka Perdana Menteri? Adakah inisiatif rakyat prihatin ini hanya bahan jenaka buat beliau?" tanya Akmal dalam satu kenyataan.


Menurut beliau lagi, kerajaan PN seharusnya sedar sejak kempen bendera putih dimulakan begitu banyak rakyat di seluruh negara yang dibantu oleh jiran tetangga, parti politik dan NGO.


"Di peringkat AMK sehingga hari ini kami masih menerima banyak permohonan bantuan dalam #KempenBenderaPutih AMK. Bantuan yang dipohon tidak hanya bakul makanan malah keperluan lain.


"Jika rakyat tidak mengibarkan bendera putih kerana terdesak memerlukan bantuan, adakah kerajaan akan bantu?


"AMK turut bersolidariti dengan kempen ini dan menggerakkan jentera di seluruh negara membantu mereka yang memerlukan.


"Kerajaan hari ini dilihat tidak peka terhadap bebanan rakyat sehingga ada yang mengambil jalan pintas dengan 'membunuh diri'," katanya.


Sehubungan itu, beliau menyelar pentadbiran Mahiaddin yang seolah-olah ingin berkuasa untuk berdekad-dekad akan datang dengan kesombongan dan keangkuhan menghina rakyat.


"Pemimpin negara bukan sahaja tidak menyokong inisiatif rakyat malah mempersenda gerakan ini sedangkan punca gerakan itu tercetus akibat kegagalan kerajaan sendiri.


"Adakah ini kerajaan yang rakyat ingin beri amanah menjaga negara untuk 10 atau 20 tahun akan datang?" katanya lagi.


0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page