Jangan melatah ikut rentak musuh, hormati semangat konsensus dalam PH



Pemimpin komponen Pakatan Harapan (PH) tidak perlu melatah menanggapi kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.


Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Halimey Abu bakar, gesaan ADUN Bilut dari DAP meminta Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berundur sebagai Ketua Pembangkang amatlah tidak wajar dan lebih kepada mengikut rentak musuh dalam menggugat perpaduan PH


"Keputusan pilihan raya Melaka sememangnya memberi tamparan hebat kepada PH namun perlu diperingatkan setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan konsensus bersama kesemua pimpinan dalam gabungan PH dan bukannya keputusan individu.


"Jadi sangat tidak wajar mana-mana pimpinan dalam komponen PH menuding jari kepada Ketua Pembangkang seolah-olah segala keputusan dibuat atas kehendak beliau.


"Jangan hanya menjulang nama Anwar ketika beroleh kemenangan tetapi dipijak apabila menghadapi kekalahan. PH sebaliknya perlu melakukan perubahan, khususnya dalam strategi memenangi hati pengundi luar bandar dan anak muda serta bagaimana untuk menggalakkan pengundi luar pulang mengundi, yang mana perkara-perkara berikut adalah merupakan antara faktor utama kekalahan pada PRN Melaka," kata Halimey.


Beliau turut menasihatkan pemimpin pemimpin komponen PH agar lebih berhati-hati dan berhemah dalam membuat sebarang kenyataan.


Katanya, PH jangan terikut-ikut rentak dan sentimen yang dibawakan oleh para penyokong Tun Mahathir seperti Khairuddin Abu Hassan yang dengan semberono membuat kenyataan kononnya keputusan PRN Melaka membuktikan PH tidak boleh menang tanpa kehadiran Tun Mahathir


Sedangkan, kata Halimey, kemusnahan imej PH banyak berpunca daripada tindakan Tun Mahathir meletak jawatan secara tiba-tiba di samping pentadbiran selama 22 bulan dipimpin beliau banyak memberi liabiliti kepada kepimpinan PH hari ini.


"Kepada ADUN Bilut, ingatlah untuk sentiasa menghormati pimpinan utama kerana setiap perjuangan yang berjaya adalah perjuangan yang berdisiplin dan memelihara adab berpolitik.


"Apatah lagi anda hanya akan menjadi suara kepada pihak musuh PH. Peliharalah hubungan sesama parti komponen dalam PH dan jangan sampai anda dijadikan alat dan dipergunakan oleh musuh," katanya.


Selain itu, Halimey turut menyeru kepada semua pimpinan dan akar umbi PH di peringkat negeri mahu pun pusat untuk terus merapatkan saf dan menumpukan seluruh tenaga serta perancangan gerak kerja untuk menghadapi PRU-15.


Tambahnya, kekalahan di Melaka perlu dijadikan sebagai pengajaran dan seterusnya dibuat kajian mendalam bagi mengatasi kelemahan-kelemahan yang telah dikenalpasti.


"Walaupun kali ini BN menang di Melaka, namun daripada statistik peratusan undi popular kita masih dapati PH tetap mempunyai sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada rakyat. Masih ada masa untuk buat persiapan. Ayuh kita semua bangkit demi kemenangan rakyat dalam PRU-15 kelak," katanya lagi.





0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER