top of page

'Jangan jadikan manusia hamba, rakyat jangan dewakan penguasa korup'



Kerajaan yang baik mestilah menjaga hak rakyat sesuai dengan Perlembagaan negara dan tuntutan agama. Manakala rakyat yang dicuri haknya hilang martabat dan setaraf hamba abdi.


Bagi Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan BN - PN seharusnya mengambil iktibar ayat al Quran surah al-Balad yang menekankan soal keimanan, akhlak dan pengalaman Rasulullah s.a.w di Mekah dalam mentadbir negara.


"Diangkat darjat manusia itu dengan pembebasan daripada penindasan. Sekarang tak ada hamba tetapi dijadikan manusia (yang kerdil, lemah seperti) hamba.


"Kilang untung ratus juta, gaji pekerja RM1000. Itu seperti penghambaan. Negara merdeka, manusia dihambakan. Wang hasil minyak, balak dijarah oleh pimpinan. Apa beza dengan sistem penghambaan?


"Anak muda tak ada kerja, tak jadi isu. Mutu pendidikan ranap tak jadi isu. Kemudahan kesihatan tak ada, tak jadi isu.


"Sebab itu kita dengar tindakan Menteri Besar Selangor, tiap isu dijaga termasuk harga ayam yang bukan kuasa negeri masih cuba diselesaikan.


"Sekolah yang jadi urusan Kerajaan Persekutuan masih diberi penekanan," katanya dalam pidato di ceramah Jelajah Harapan Selangor, malam tadi.


Menurut beliau, dua hari lalu wakil Orang Asli dari Ulu Kelantan, Bera, Kampar bertemu dan mengadu mengenai soal tanah (kawasan rayau), ketiadaan bekalan air, sekolah dan sebagainya.


Kegagalan menegakkan hak Orang Asli juga, kata Anwar, termasuk dalam penghambaan. Orang Asli hanya dipedulikan apabila tiba pilihan raya. Mereka diberi sogokan wang atau diugut untuk mendapatkan undi.


Selain itu Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan berkata, pengajaran seterusnya dari surah al Balad ialah pentingnya membela nasib rakyat marhaen.


"Apa langkah perlu diambil? Iaitu membela nasib anak yatim dan orang miskin. Jadi apa yang disebut pimpinan Kerajaan Negeri ini bukan menambah elaun pimpinan tetapi meletakkan keutamaan menjaga kemaslahatan rakyat.


"Kalau harga barang naik, ikan naik, sayur, tepung, ini masalah rakyat. Disebut Orang Asli yang miskin atau Melayu di kampung, India estet, Cina pinggir bandar, itu masalah kita.


"Kalau betul tolong Melayu saya ok. Melayu mana yang kamu tolong? Kalau yang ditolong itu Tan Sri, Datuk, macam macam kontrak mentekedarah tak habis habis. Tetapi bila kempen sebut nak selamatkan Melayu (miskin). Maknanya naratif kita berbeza.


"Kita patut cakap soal keadilan, angkat darjat manusia. Ini yang patut kita lakukan," katanya.


Beliau yang juga Presiden KEADILAN jelas kecewa terhadap sikap segelintir rakyat yang tidak faham erti maruah, akhlak dan nilai mulia sehingga masih lagi mendewa dewakan tokoh politik yang telah didapati bersalah oleh mahkamah.


Sikap seperti itu, katanya, hanya menyebabkan perjuangan menyelamatkan rakyat tertindas berundur ke belakang dan membiarkan kebobrokan kembali berkuasa.


"Kita mesti manfatkan waktu yang ada menanam semangat perubahan ini, bukan menjadi pengampu dan penjilat. Maksud pengampu ialah apa yang dibuat, ada orang yang nyata salah guna berbilion ringgit masih disanjung.


"Apa maruah kita? Apa akhlak kita? Apa nilai hidup kita? Di mana maruah kita membela orang yang telah merompak berbilion ringgit. Keluar di mahkamah Malaysia, ada harta di New York, harta di London masih orang kita belum bangkit membantah.


"Sahabat saya di Jakarta berkata, pak Anwar kalau ini di Jakarta, kita hempap habis ini......


"Inilah zaman edan (gila). Perompak disanjung itu edan. Mengiyakan rasuah, edan. Tindas orang baik, edan.


"Dalam menghadapi edan apa disebut pujangga keraton Yogjakarta, Rongo Wasito? "Eling nan waspado". Maknanya beringat dan waspada.


"Beratus tahun dulu pujanga rantau Melayu ingatkan kita. Bila pemerintah itu zalim, rakyat waspada. Kalau tidak kena tindas terus menerus," katanya lagi.


Menyifatkan program jelajah di Selangor itu satu permulaan yang baik, Anwar berharap kesedaran rakyat di negeri tersebut akan menyebar ke seluruh negara


Beliau juga berharap pemimpin PH Selangor akan membantu dalam jelajah ke negeri jiran dalam usaha meniupkan semangat reformasi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page