Jangan jadikan kepincangan institusi Melayu-Islam isu kaum, agama
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 3 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pihak yang cuba menggambarkan tindakan mendedahkan dan membanteras kelemahan tatakelola institusi Melayu dan Islam sebagai usaha menyasarkan kaum atau agama tertentu.
Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak memilih institusi berdasarkan latar belakang kaum atau agama dalam mengambil tindakan terhadap kelemahan pengurusan sebaliknya setiap kepincangan yang dikenal pasti perlu diperbetulkan.
"Saya yang kesal sekali ialah orang anggap macam tak ada masalah. Dia macam anggap okeylah.
"Ada pula seorang pemimpin parti Islam. Dia kata kenapa ini kena badan-badan Melayu dan Islam sahaja. Itu bawah kerajaan. Kalau syarikat, bukannya Melayu dan Islam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ramah mesra tertutup bersama pengurusan tertinggi dan pengurus FELDA di Bangi hari ini.
Kenyataan Anwar itu dilihat merujuk pandangan Presiden Pas, Hj Abdul Hadi Awang semalam yang mendakwa isu salah laku dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) diperbesarkan kerana institusi itu membawa jenama Islam.
Dalam tulisan Minda Presiden Pas, Hj Hadi mendakwa meskipun terdapat institusi kewangan Islam yang mengalami penyelewengan dan salah laku, kepincangan melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi perniagaan lain tidak diberikan perhatian sama.
"Maka, kesalahan Tabung Haji dijadikan tajuk utama kerana jenama Islamnya menjadi sasaran," dakwa Hj Hadi.
Beliau turut mendakwa kesalahan segelintir individu diperbesarkan sehingga menimbulkan keaiban terhadap Melayu dan Islam selain mempersoalkan tindakan terhadap pihak yang membawa jenama Melayu-Islam.
Bagaimanapun, Anwar menolak tanggapan bahawa tindakan kerajaan hanya tertumpu kepada institusi Melayu atau Islam dengan memberikan contoh Khazanah Nasional Bhd yang turut diteliti sekiranya terdapat kelemahan pengurusan dan tatakelola.
Menurutnya, beliau mempengerusikan mesyuarat Lembaga Khazanah semalam dan isu-isu lama turut dibangkitkan serta diteliti.
"Kita tak tanya syarikat itu Melayukah, syarikat kerajaankah. Kalau ada, kita kenal pasti masalah, kita ambil tindakan.
"Jadi jangan jadikan ini sebagai masalah kaum atau agama," katanya.
Anwar berkata prinsip sama digunakan dalam menangani kepincangan yang didedahkan membabitkan Tabung Haji.
Malah katanya, masyarakat Melayu dan Islam seharusnya lebih bersungguh-sungguh memastikan institusi mereka diurus berlandaskan tatakelola, akhlak dan nilai yang baik kerana umat Islam sewajarnya menjadi contoh.
"Seperti yang berlaku dalam Tabung Haji. Malah kalau tanya saya, orang Islam, orang Melayu patut lebih sungguh-sungguh, lebih teliti dalam soal pengurusan, akhlak dan nilai. Kerana kita patut jadi contoh.
"Orang kita dalam dakwah ini apa? Dakwah bil hal. Dakwah paling berkesan ini dakwah contoh," katanya.
Menurut Anwar, seruan memerangi rasuah tidak akan membawa makna sekiranya salah laku dalam kalangan sendiri cuba diketepikan atau dipertahankan.
Beliau menegaskan siasatan perlu dijalankan bagi menentukan pihak yang bersalah tanpa mengambil kira kedudukan atau parti politik seseorang.
"Saya tak tahu siapa yang salah atau tidak. Dia siasatlah. Kalau salah, salah.
"Saya tak kira dari parti mana. Dan dalam senarai yang ada itu, kita bukan pilih kerana dia ahli mana-mana parti. Dia kerana tanggungjawab yang diberikan.
"Saya sebagai seorang Muslim, mahu kita jadi contoh yang baik," katanya.
Menurut Anwar, prinsip sama perlu digunakan dalam memerangi rasuah dengan tindakan diambil terhadap sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan tanpa mengambil kira latar belakang atau parti politik mereka.
"Saya tak tahu siapa yang salah atau tidak. Dia siasatlah. Kalau salah, salah.
"Saya tak kira dari parti mana. Dan dalam senarai yang ada itu, kita bukan pilih kerana dia ahli mana-mana parti. Dia kerana tanggungjawab yang diberikan.
"Dan dia khianat yang mana. Saya sebagai seorang Muslim, mahu kita jadi contoh yang baik," katanya.
Dalam konteks FELDA, Perdana Menteri turut menegaskan masalah legasi yang dihadapi agensi itu bukan berpunca daripada pengurus di lapangan atau peneroka sebaliknya melibatkan pengurusan serta keputusan yang dibuat di peringkat atasan.
Beliau antaranya membangkitkan pelaburan FELDA di Indonesia yang kini berdepan proses mahkamah dan berpotensi menyebabkan kerugian besar sekiranya tidak ditangani.
Anwar berkata pengurus FELDA perlu mengetahui masalah sebenar yang diwarisi agensi itu supaya mereka memahami mengapa kerajaan memberi penekanan kepada tatakelola serta usaha memulihkan institusi berkenaan.
Beliau turut memaklumkan Yang di-Pertuan Agong meminta supaya penyiasatan terhadap Tabung Haji dan kemudiannya FELDA dijalankan secara telus dan segera serta tindakan tegas diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab terhadap kerosakan yang berlaku.
"Sejarah gemilang boleh dirobohkan dengan tindakan gelojoh dan tamak haloba.
"...penyiasatan ke atas Tabung Haji dan diikuti FELDA itu dijalankan dengan telus dan segera dan tindakan yang tegas terhadap kalangan yang telah merosakkan kerana nafsu serakah mereka," katanya.




Comments