Jangan jadikan isu judi berlesen sebagai modal politik - Dr Muhammad Faiz
- Hasbul Ahmad

- 1 hour ago
- 2 min read

Usaha mengharamkan judi berlesen untuk bukan Islam di Kedah perlu dilihat dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan pembahagian kuasa antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, bukannya dijadikan modal politik untuk menyerang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Kerajaan MADANI.
Penggerak Rakan Nasionalis Moderat, Dr Muhammad Faiz Bin Na'aman berkata, sasaran sebenar kempen berkenaan dilihat bukan semata-mata atas pertimbangan agama, sebaliknya sengaja dijadikan sebagai usaha politik untuk mengaitkan isu tersebut dengan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Kerajaan Pusat dan Kerajaan MADANI.
Menurut beliau, Kementerian Kewangan (MOF), tidak kira siapa yang menerajui kementerian itu, wajib beroperasi dalam ruang lingkup kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara.
"MOF tidak boleh sesuka hati membuat keputusan di luar ruang lingkup kuasanya, termasuklah untuk melanggar keputusan atau arahan mahkamah sekiranya ada.
"Perlembagaan Persekutuan pula telah wujud sejak pembentukan Malaysia. Sebarang penggubalan akta dan pindaan undang-undang perlu dilakukan melalui Dewan Rakyat mengikut peraturan Parlimen yang telah lama wujud sebelum munculnya Kerajaan MADANI," katanya kepada Suara Keadilan.
Beliau berkata, semua Ahli Parlimen, sama ada daripada blok kerajaan mahupun pembangkang, mengangkat sumpah untuk melaksanakan tanggungjawab dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang sama.
Katanya, kerangka tersebut turut merangkumi kedudukan Raja-Raja Melayu serta kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan yang dilindungi melalui peruntukan undang-undang.
"Justeru, untuk menuduh PMX, yang juga Menteri Kewangan, kononnya menghalalkan judi kepada umat Islam hanya kerana lesen perjudian dikeluarkan oleh MOF atau Kerajaan Pusat adalah tuduhan yang amat serius.
"Jika tuduhan itu dilemparkan tanpa mengambil kira bidang kuasa Persekutuan, undang-undang sedia ada dan fakta bahawa lesen berkenaan bukan ditujukan kepada umat Islam, ia boleh menjadi fitnah politik yang sangat berbahaya," katanya.
Dr Muhammad Faiz berkata, kuasa Kerajaan Persekutuan dalam mengawal selia aktiviti perjudian berlesen bukanlah sesuatu yang muncul selepas pembentukan Kerajaan MADANI, sebaliknya telah wujud dalam sistem pentadbiran negara sejak sekian lama.
Menurut beliau, kewujudan lesen kepada premis perjudian yang sah turut berkait dengan hak warganegara bukan Islam dalam kerangka undang-undang negara, selain menyumbang kepada pungutan hasil dan cukai kerajaan.
"Hasil yang dikutip Kerajaan Persekutuan kemudiannya disalurkan melalui pelbagai bentuk peruntukan kepada negeri-negeri, termasuk negeri-negeri dalam SG4, selain membiayai pembangunan infrastruktur dan projek Kerajaan Persekutuan.
"Maka tidak wajar isu ini dipersembahkan seolah-olah ia bermula dengan Kerajaan MADANI atau seolah-olah Perdana Menteri secara peribadi mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan semua perkara berkaitan lesen perjudian," katanya.




Comments