top of page

Jangan heret penjawat awam ke politik jalanan, double standard Isham Jalil dibidas

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 21
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Mohd Foad


Tindakan seorang pengkritik kerajaan, Isham Jalil yang mempertikaikan larangan penjawat awam terlibat dalam perhimpunan anjuran pembangkang dianggap sebagai hipokrasi politik.


Aktivis Pakatan Harapan Kelantan, Mohd Hisyamuddin Ghazali (gambar) berkata, Isham bersikap berat sebelah apabila menyerang Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang mengeluarkan larangan itu, sedangkan perkara sama diambil ketika pentadbiran bekas ketuanya dahulu Datuk Seri Najib Tun Razak.


Menurut beliau, arahan yang dikeluarkan oleh KSN adalah sejajar dengan peraturan perkhidmatan awam, prinsip pentadbiran yang diamalkan sejak dahulu serta keputusan mahkamah tertinggi negara.


"Larangan ke atas penjawat awam untuk menyertai demonstrasi bukan perkara baharu. Pada 2016, ketika era pentadbiran Najib, KSN ketika itu Tan Sri Dr Ali Hamsa turut mengeluarkan amaran tegas kepada mana-mana penjawat awam yang menyertai perhimpunan baju kuning atau baju merah.


"Ketika itu Isham Jalil tidak pula membantah. Tapi hari ini beliau menyerang KSN dengan alasan kebebasan berhimpun di bawah Perkara 10 Perlembagaan. Ini jelas menunjukkan sikap double standard," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau yang turut dikenali sebagai Syam Ghaz turut menegaskan bahawa Perkara 10(1)(b) yang menjamin hak berhimpun bukanlah hak mutlak, khususnya bagi penjawat awam yang tertakluk kepada pelbagai peraturan dan etika jawatan.


"Penjawat awam perlu patuh kepada Perintah Am, Aku Janji serta pekeliling perkhidmatan. Mereka dilarang menyertai apa-apa perhimpunan yang boleh menimbulkan keraguan terhadap kesetiaan kepada kerajaan semasa," ujarnya.


Beliau juga merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes R. Rama Chandran v Industrial Court (1997) yang menyatakan bahawa penjawat awam tidak memiliki kebebasan mutlak seperti rakyat biasa kerana mereka terikat dengan tanggungjawab dan batasan tertentu.


Dalam perkembangan sama, Syam menyelar tindakan pembangkang yang menganjurkan demonstrasi jalanan untuk menjatuhkan kerajaan, sedangkan Dewan Rakyat sedang bersidang.


"Jika benar mereka ada majoriti, bawa usul undi tidak percaya dalam Parlimen. Tidak perlu heret penjawat awam turun ke jalanan," katanya.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengulas perkara itu dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.


"Hari ini hari pertama sidang Parlimen. Saya tunggu usul undi tidak percaya. Kalau ada majoriti, silakan," kata beliau ringkas.


Mengulas lanjut, Syam berkata pembangkang sepatutnya menggunakan saluran sah dan berperlembagaan untuk mencabar kerajaan, bukan mewujudkan ketegangan melalui demonstrasi jalanan.


Kata beliau keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman merupakan bukti bahawa Malaysia di bawah Kerajaan Madani benar-benar menghormati Perlembagaan, prinsip kebebasan berhimpun dan kedaulatan undang-undang.


"Ironinya, pembangkang yang kononnya berjuang untuk kebebasan berhimpun, kini menolak saluran Parlimen dan memilih demonstrasi jalanan walaupun PM sendiri mencabar mereka bawa undi tidak percaya di Dewan Rakyat. Kita bersedia ditegur, tetapi melalui saluran demokrasi, bukan teater jalanan.


"Kerajaan hari ini cabar pembangkang kemuka usul undi tidak percaya dalam Parlimen. Maka, tidak perlu penjawat awam turun ke jalanan. Hormati sumpah jawatan, lindungi maruah perkhidmatan awam dan jauhi politik murahan," kata beliau lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page