Hassan Karim: Beza pandangan, sokong kerajaan untuk kepentingan negara
- Suara Keadilan

- 5 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kelantangan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dalam 'mengkritik' Kerajaan MADANI bukan lagi sesuatu yang asing, malah kian terserlah melalui kenyataan-kenyataan terbukanya terhadap dasar dan hala tuju pentadbiran semasa.
Bagaimanapun, wakil rakyat berusia 74 tahun itu mempertahankan pendiriannya dengan menyatakan bahawa segala teguran yang dibuat adalah demi kepentingan negara.
"Saya memberi pandangan.. kalau kebetulan pandangan itu berbeza daripada pandangan kerajaan termasuk pandangan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya tak dapat apa-apa lah.
"Tapi apa yang (boleh) saya kata, saya memikirkan (tentang) kepentingan negara. Soal yang terdekat apabila saya tidak setuju dengan Kerajaan dan PM yang mendatangani Perjanjian Timbal Balas Perdagangan Malaysia–Amerika Syarikat (ART), tapi itu satu perkara yang saya sudah 'move on'," katanya dalam siaran video ketika menjadi tetamu dalam satu rancangan wawancara.
Katanya meskipun lantang menyuarakan pandangan dan kadang kala kelihatan berbeza pendapat, beliau tidak tergamak untuk menghancurkan Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Takkan kerana itu saya nak terus menyerang kerajaan sekarang. Saya tidak ada agenda untuk menjatuhkan kerajaan.. saya Ahli Parlimen kerajaan dan juga KEADILAN.
"Saya mungkin tegur Kerajaan Perpaduan MADANI, (tapi) saya tidak hentam mereka. Itu berbeza, dan mesti ingat mereka tak kenal Anwar Ibrahim, tapi saya kata, saya kenal.
"Apa saja yang buruk yang orang tak sebut tentang Anwar? Yang fitnah beliau tanggunglah dosa, tapi saya setuju dengan Datuk Seri Anwar dalam soal kedaulatan bahasa kebangsaan.
"Dasar Pelajaran Kebangsaan dipertahankan (oleh beliau). Anwar ini dulu ialah Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (UM dan beliau yang mencetuskan agar Dasar Pelajaran Kebangsaan itu mesti menggunakan Bahasa Melayu sehingga UM itu yang menggunakan Bahasa Inggeris, kini sudah menggunakan Bahasa Melayu," ujarnya lagi.
Hassan menambah, sokongan yang beliau berikan kepada Anwar sejak muda adalah disebabkan jasa-jasa Presiden KEADILAN itu sendiri.









Comments