'Jangan hakim sendiri, guna adab betulkan silap pasang Jalur Gemilang'
- Suara Keadilan
- 4 days ago
- 1 min read

Orang ramai jangan bertindak melulu atau menghukum secara sendiri sendiri terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan berkaitan Jalur Gemilang.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan semua siasatan, pendakwaan dan keputusan kes perlu diserahkan kepada pihak berkuasa yang berwibawa, selari peringatan dikeluarkan Jabatan Peguam Negara (AGC).
"Jangan kita jadi polis, peguam atau hakim. Itu salah. Serahkan pada pihak polis untuk siasat, pada Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa dan mahkamah untuk buat keputusan," katanya dipetik.
Fahmi berkata begitu selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu Lembah Pantai pada Sabtu.
Mengulas tindakan segelintir pihak yang berarak kononnya untuk “mengajar” individu tertentu, Fahmi menegaskan perkara itu sedang ditangani pihak polis.
Dalam masa sama, beliau menyeru rakyat agar mengambil pendekatan beradab dalam membetulkan sebarang kesilapan berkaitan Jalur Gemilang.
"Kita sebagai rakyat Malaysia boleh mainkan peranan. Sekiranya kita melihat Jalur Gemilang jatuh, kita angkatkan balik. Sekiranya pudar, kita gantikan dengan yang baharu.
"Sekiranya ia dipasang dengan cara yang tidak betul, kita betulkan. Jangan kita mencemuh, memaki hamun, bertindak secara tidak beradab kerana dalam Bulan Kebangsaan ini," katanya.
Terdahulu, tindakan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh memobilisasi demonstrasi disertai kumpulan termasuk penyokong pembangkang di Kepala Batas pada Khamis dikritik ramai.
Demonstrasi membantah pemilik premis yang didakwa menaikkan Jalur Gemilang secara terbalik itu dianggap keterlaluan dan bersifat provokasi berikutan perkara itu sudah dalam siasatan pihak berkuasa polis.
تعليقات