top of page

Jangan biar prestasi Selangor ditenggelamkan naratif fitnah – Iman Haziq

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 59 minutes ago
  • 2 min read

Pengundi Selangor perlu menilai prestasi kerajaan negeri dan jangan mudah terpengaruh dengan naratif fitnah yang disebarkan di media sosial, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi (gambar).


Beliau berkata, tiada keperluan untuk melakukan perubahan di kawasan Ampang memandangkan dalam parlimen berkenaan mempunyai dua wakil rakyat yang disifatkannya baik, masing-masing di DUN Bukit Antarabangsa dan DUN Lembah Jaya.


"Apa lagi nak ditukar di Ampang. Ampang dah ada dua YB yang baik. Satu kat DUN Bukit Antarabangsa, satu kat Lembah Jaya," katanya dalam ceramah kelompok dengan tajuk "Sedar: Selamatkan Dana Rakyat", malam tadi.


Menurut Iman, Selangor kini berada pada kedudukan terbaik dari pelbagai aspek termasuk ekonomi dan pembangunan sahsiah, selain menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat sepanjang kehidupan.


"Selangor dari lahir sampai meninggal ada insentif.


"Sekolah rendah kerajaan bagi bantuan, sekolah menengah beri, masuk universiti bagi bantuan. Hendak kahwin kerajaan bagi bantuan, meninggal kerajaan bagi bantuan," ujarnya.


Iman berkata, prestasi pentadbiran Selangor turut dapat dilihat menerusi kedudukan kewangan negeri yang disifatkannya kukuh.


"Kita ditadbir dengan baik. Hutang kita kosong. Itu bukti beri kuasa kepada orang yang betul untuk mentadbir," katanya.


Selain itu, beliau mengingatkan supaya rakyat Selangor mengambil iktibar daripada perkembangan politik di Negeri Sembilan dan Johor, khususnya apabila beberapa isu yang mahu diselesaikan tidak kunjung selesai.


Bagaimanapun, menurutnya prestasi pentadbiran semata-mata tidak menjamin sokongan rakyat sekiranya naratif politik yang berasaskan fitnah berjaya mempengaruhi pengundi.


"Negeri Sembilan, kerajaan kita (sebelum ini) tak ada apa salah, (Menteri Besar) Tok Min perintah sangat baik tetapi naratif fitnah menang berbanding prestasi.


"Kita kena pastikan benda begitu tidak berlaku di Selangor. Saya yakin pengundi Selangor bijak," katanya.


Dalam perkembangan sama, Iman Haziq mendakwa kerjasama Pas dan Umno sebagaimana bermula di Negeri Sembilan bulan lalu tidak akan bertahan lama kerana hubungan kedua-dua parti itu lebih berasaskan kepentingan kuasa.


"Gabungan Pas dengan Umno percayalah tak akan kekal lama. Dah berapa kali mereka kahwin. Tiga kali dah. Sebab perhubungan mereka atas dasar kuasa bukan dasar nak bantu rakyat," katanya.


Justeru itu, beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak mudah mempercayai maklumat yang disebarkan tanpa semakan, khususnya melalui media sosial.


"Jangan kita percaya fitnah di luar dan media sosial," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page