
Oleh: Akmal Manaf
Budaya politik fitnah perlu segera dibanteras sebelum ia terus merebak dan menghancurkan nilai-nilai murni dalam masyarakat di negara ini.
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Perak, Ahmad Munzirie Ahmad Kabir berkata, fitnah yang semakin menular dalam masyarakat pada hari ini bukan sahaja merosakkan keharmonian, malah telah menjadi 'senjata politik' yang digunakan secara berleluasa.
Lebih membimbangkan katanya, apabila media sosial dijadikan platform untuk menyebarkan fitnah tanpa rasa bersalah.
''Semua pihak perlu bermuhasabah diri. Kita perlu akui bahawa budaya fitnah ini telah menjadi lebih berbahaya daripada dadah.
"Ia membunuh maruah, merosakkan keharmonian masyarakat, menghancurkan perpaduan dan paling membimbangkan ia menjadi contoh kepada generasi muda yang akan datang,'' katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, Ahmad Munzirie berkata, pihaknya menyambut baik ucapan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII yang menegaskan bahawa Parlimen bukan tempat untuk menjerit, menabur fitnah, dan caci mencaci.
''Dalam situasi hari ini di mana budaya fitnah telah menjadi barah yang lebih berbahaya dari dadah. Justeru titah Tuanku itu perlu dijadikan peringatan kepada semua pihak.
''Semua pihak perlu kembali kepada politik matang dan bertanggungjawab,'' ujarnya lagi.
Comments