top of page

Jangan bebankan pesawah, peneroka FELDA akibat kelemahan pengurusan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 53 minutes ago
  • 2 min read
PM Anwar memuji Pavilion Negeri Sarawak dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Pavilion Negeri Terbaik
PM Anwar memuji Pavilion Negeri Sarawak dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Pavilion Negeri Terbaik

Kerajaan tidak boleh membiarkan petani dan pesawah menjadi mangsa akibat kelewatan atau kelemahan pengurusan syarikat yang diberi amanah melaksanakan sesuatu program, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata sebarang kelemahan termasuk dalam pengedaran baja kepada pesawah di Kedah misalnya perlu diteliti bagi mengenal pasti punca serta memastikan pihak yang gagal menunaikan tanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya.


"(Kita) pastikan pemerintahan ikut hukum itu berjalan. Penyelewengan dan rasuah dihentikan. Ini bukan momokan politik biasa. Apa kaitan dengan pertanian? Ada baru-baru ini, soal pengedaran baja (baja 3) kepada pesawah di Kedah. Kita lihat kelewatan. Sekali lagi, yang menjadi mangsa pesawah. Mereka bangkit marah.


"Jadi kita kena cari balik apa puncanya. Syarikat mana yang diberi amanah, mereka tunai janji atau tidak? Kalau mereka tak tunai, mengapa tidak ada tindakan terhadap mereka?" katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Penutup Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di MAEPS Serdang, Selangor, petang tadi.


Anwar berkata syarikat yang berulang kali melakukan kesilapan seharusnya ditamatkan perkhidmatan dan digantikan dengan syarikat baharu bagi mengelakkan golongan petani terus terjejas.


"Kalau nak dihadap ke mahkamah, hadapkan mahkamah. Kalau nak didakwa, SPRM masuk, masuk. Saya dah minta SPRM masuk dan kaji balik proses ini," katanya.


Perdana Menteri berkata rekod Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan adalah baik, namun kelemahan segelintir pihak boleh memberi kesan terhadap imej keseluruhan kementerian serta usaha kerajaan membantu rakyat.


Beliau berkata kelewatan dalam pelaksanaan program bantuan boleh memberi kesan besar kepada pesawah yang sememangnya berdepan cabaran lain termasuk keadaan cuaca dan masalah bekalan air.


Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan turut memberi perhatian terhadap isu pengurusan FELDA termasuk keperluan kerajaan menanggung hampir RM1 bilion setahun bagi membayar hutang akibat kerugian badan berkenaan.


"Apa yang berlaku? Setiap tahun, Kementerian Kewangan mesti sediakan RM980 juta. Apa dia? Dana untuk membayar hutang akibat kerugian FELDA.


"Setiap tahun hampir RM1 bilion dari wang Kerajaan. Wang Kerajaan ini wang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, terpaksa bayar. Ini sebab (akibat) pengurusan yang lemah dan amalan mengambil hak rakyat oleh orang yang diberi amanah," katanya.


Anwar berkata, kerajaan tidak seharusnya memindahkan beban kerugian akibat kelemahan pengurusan kepada peneroka FELDA yang tidak mempunyai kaitan dengan kesalahan tersebut.


"Saya kata, bagaimana saya nak bebankan peneroka dari kampung-kampung halaman yang miskin? Bukan salah mereka. Masuk hutan belantara, menebas hutan, ada hasilnya.


"Urus lemah, wang songlap atau ada sakau. Kemudian bila rugi, nak bebankan orang kampung, peneroka. Saya tak sanggup. Jadi terpaksa Kerajaan tanggung hampir RM1 bilion satu tahun," katanya.


Dalam pada itu, katanya, kerajaan turut menyediakan tambahan RM450 juta bagi membaiki rumah peneroka yang mengalami kerosakan selepas puluhan tahun tidak dibaiki.


Anwar juga menegaskan beliau tidak mengambil tindakan semata-mata untuk mencari populariti, sebaliknya tindakan terhadap penyelewengan dan kelemahan pengurusan adalah sebahagian daripada amanah yang dipikul kerajaan.


"Saya bukan pilih mengambil tindakan. Kalau nak pilih, saya pun nak popular. Orang yang sakau pun suka saya, yang perasuah pun suka saya, senang kerja. Tetapi, kita diberi amanah," katanya.


Oleh itu, beliau memberi jaminan kerajaan tidak mempunyai masalah untuk meningkatkan peruntukan bantuan kepada sektor pertanian kerana ia memberi manfaat secara langsung kepada petani, pesawah, peladang dan nelayan.


"Tetapi yang saya minta, masing-masing harus bantu, cermat, jaga amanah ini. Wang ini wang rakyat. Kita bertanggungjawab kepada rakyat dan akhirnya kepada Allah SWT," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page