top of page

Jangan bazirkan masa selesai masalah pembangkang, gunakan tenaga perluas pengaruh



Blok pembangkang sejak kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menggunakan terlalu banyak tenaga untuk menyelesaikan masalah dalaman mereka.


Hal itu, menurut Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau adalah tidak baik untuk masa hadapan pembangkang di Malaysia.


Di atas sebab itu, katanya, UPKO mengambil keputusan untuk menguatkan perjuangan PH dan diterima sebagai komponen keempat gabungan berkenaan.


Bagaimanapun, menurut beliau lagi, tidak timbul isu yang sering dibangkitkan penyokong berhubung pakatan khusus di Malaysia Timur bersama Warisan kerana parti itu sama-sama pembangkang dan mempunyai hala tuju perjuangan yang seiring PH.


"Persoalan kita kepada rakan seperti parti Warisan, sebenarnya kita sama-sama pembangkang dan kita di blok pembangkang masih bersama. Di peringkat negeri Sabah, Datuk Seri Shafie adalah Ketua Pembangkang Sabah. Kita bersama-sama dia.


"Kita pula jadi anggota PH di peringkat nasional. Harapan kita ialah isu Sabah akan diangkat di peringkat nasional dan dicari penyelesaiannya. Langkah ini (sertai PH) juga dapat mengukuhkan blok pembangkang.


"Bagi saya pembangkang jangan berselisih faham. Lebih baik kita terjemahkan apa kita katakan. Sebab terlalu banyak kita gunakan tenaga untuk menyelesaikan masalah dalaman blok pembangkang. Sepatutnya tenaga ini kita gunakan memperkukuh dan memperluaskan lagi bilangan kita," katanya dalam forum maya sempena penyertaan UPKO ke dalam PH bertajuk: "Kebersamaan UPKO Malaysia Dalam Perjuangan", semalam.


Mengenai suara-suara yang sedikit meragukan tujuan penyertaan UPKO ke dalam PH, Wilfred berkata, penilaian partinya untuk menyertai PH tidak dibuat dalam waktu singkat.


Sebaliknya, menurut beliau isu itu telah difikirkan sejak selepas Pilihan Raya Umum ke 14 lalu, dan melalui pelbagai sesi perbincangan.


"Dalam hal langkah yang kita ambil ini, ia bukan baru kita fikirkan sekarang. Sebenarnya telah dimulai pada 2018 setelah bersama Warisan menubuhkan kerajaan Sabah. Kita telah menerima inilah (PH) rakan-rakan kita.


"Cumanya pada ketika itu kita bukan rakan PH secara formal. Ketika itu UPKO tiada dalam kerajaan persekutuan. Kita cuma anggota dalam kerajaan di peringkat Sabah.


"Permulaan pertimbangan kita untuk jadi komponen PH adalah selepas Pilihan Raya Negeri lalu. PH kita lihat satu alternatif kepada rakyat, satu gabungan dipimpin oleh pemimpin yang menerajui parti berbilang kaum," katanya.


Oleh kerana UPKO telah mengubah perjuangannya kepada parti berbilang kaum daripada hanya tertunpu kepada suku kaum di Sabah, maka menurut Wilfred, parti itu amat tertarik dengan konsep 'khemah besar' PH yang mahu menaungi semua pihak di bawah satu teraju dan satu perjuangan.


"UPKO apabila dijelmakan kepada parti berbilang kaum, dan setelah konsep yang diperkenalkan oleh PH iaitu khemah besar (diwar-warkan), maka ini amat menarik bagi kita.


"Persoalan yang dibangkitkan (penyokong) berkenaan isu Sabah (yang selama ini diperjuangkan). Apa pun tindakan kita ambil, isu Sabah yang kita perjuangkan hendaklah kita lihat sebagai isu nasional, bukannya isu Sabah sahaja. Jangan lihat ia berlawanan antara Sabah dan Semenanjung


"Jadi kita lihat tujuan kita menjadi komponen PH adalah supaya perspektif Sabah kita dapat angkat di peringkat nasional," katanya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page