Jambatan Darat Thailand: Susun semula laluan logistik ekoran kemerosotan pelabuhan
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Projek Jambatan Darat Thailand (Land Bridge Project) yang menghubungkan Laut Andaman di Ranong dengan Teluk Thailand di Chumphon, dijangka memberi kesan besar terhadap laluan logistik serantau termasuk ekonomi Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang berkata, dengan sasaran menggantikan sebahagian daripada penggunaan Selat Melaka sebagai laluan utama perdagangan, projek berkenaan membawa implikasi langsung kepada daya saing pelabuhan-pelabuhan utama negara seperti Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).
Oleh itu beliau berpendapat, Malaysia tidak boleh mengambil sikap sambil lewa, sebaliknya perlu bertindak dengan beberapa pendekatan.
"Ia termasuk membina dasar logistik dan pelabuhan yang lebih responsif, progresif dan mesra pelabur agar kita terus menjadi antara hab perdagangan penting di rantau ini.

"Terdapat dua kesan terhadap ekonomi negara seperti pengalihan laluan perkapalan dan projek itu dijangka mengubah aliran perdagangan global yang selama ini bergantung kepada Selat Melaka.
"Ini boleh menyebabkan pengurangan kapal dagang sebangak 30% yang melalui perairan Malaysia dan secara langsung menjejaskan hasil daripada sektor logistik dan perkhidmatan pelabuhan.
"Kesan kedua ialah persaingan terhadap pelabuhan Malaysia.. pengurangan trafik laut akan memberi tekanan kepada kecekapan dan kelestarian operasi pelabuhan negara.
"Ia boleh menjejaskan peluang pekerjaan, pelaburan dan sumbangan ekonomi daripada sektor perkapalan dan perkhidmatan sokongan yang berkaitan," katanya menerusi satu kenyataan.
Sehubungan itu, Chun Kuang yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang tampil dengan cadangan dan langkah strategik bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam landskap logistik serantau.
Katanya, beberapa langkah strategik perlu diambil segera dengan menyusun semula laluan logistik nasional dan serantau.
Ujarnya, Malaysia perlu meneliti semula strategi logistik negara dengan mengambil kira perubahan landskap tersebut.
"Antara yang boleh dipertimbangkan adalah memperkukuh jaringan rel, jalan raya dan pelabuhan agar dapat berfungsi sebagai rangkaian yang saling melengkapi termasuk mewujudkan hubungan logistik baharu ke kawasan pedalaman dan sempadan utara Semenanjung.
"Kedua, adalah meningkatkan kecekapan dan menurunkan kos operasi pelabuhan seperti Pelabuhan Malaysia perlu lebih efisien, berdaya saing dan berteknologi tinggi, proses birokrasi yang melambatkan urusan pelabuhan perlu dikurangkan.
"Langkah penurunan kos pengendalian kontena serta insentif kepada syarikat logistik dan perkapalan boleh dipertimbangkan untuk kekal relevan dalam persaingan," ujarnya lagi.
Seterusnya cadangan dan langkah strategik yang dicadangkan adalah melabur dalam pelancongan kapal persiaran.
Dengan usaha itu katanya, Malaysia boleh mempelbagaikan peranan pelabuhan khususnya di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak sebagai destinasi kapal persiaran
Hal itu ujar beliau, bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada kargo, tetapi juga merangsang ekonomi tempatan melalui sektor pelancongan.