Jalur Gemilang tidak lengkap: Di T'ganu hukum lain, di P Pinang lain?
- Sidiqin Omar

- 1 hour ago
- 2 min read

Sikap berbeza Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani isu Jalur Gemilang yang dipasang tidak lengkap di Terengganu menimbulkan persoalan sama ada pendirian mereka mengenai patriotisme bergantung kepada lokasi dan kepentingan politik.
Ketua Cabang KEADILAN Pontian, Haniff Hosman berkata, persoalan itu timbul susulan insiden Jalur Gemilang yang didakwa dipaparkan tanpa lambang bulan dan bintang di Terengganu kelmarin namun Menteri Besar Terengganu menyifatkannya sebagai kes terpencil dan tidak disengajakan.
Keadaan itu berbeza dengan reaksi keras pemimpin Umno dan Pas apabila berlaku kesilapan berkaitan Jalur Gemilang di Pulau Pinang sebelum ini, yang dilihat sebagai isu besar dan dijadikan modal politik menyerang Kerajaan Negeri diketuai DAP.
"Kalau orang Cina atau DAP di Pulau Pinang memasang Jalur Gemilang secara terbalik atau tersalah, bukan main lagi Umno dan Pas menghentam. Isu itu dibesarkan seolah-olah mereka (Cina DAP) tidak menghormati negara.
"Tetapi apabila perkara yang hampir sama berlaku di Terengganu, Menteri Besar daripada Pas sendiri mengatakan ia kes terpencil dan tidak disengajakan. Selepas itu senyap," kata Haniff.

Menurut beliau, persoalannya bukan semata-mata mengenai kesilapan memasang atau memaparkan bendera, tetapi konsistensi dalam mempertahankan simbol negara.
Haniff yang merupakan bekas pereka grafik berkata, jika kesilapan pada Jalur Gemilang dianggap mencabar nilai kenegaraan apabila dilakukan pihak tertentu di Pulau Pinang, prinsip yang sama sepatutnya digunakan apabila ia berlaku di negeri yang ditadbir Pas.
"Jalur Gemilang tetap Jalur Gemilang. Tidak ada Jalur Gemilang versi Pulau Pinang dan Jalur Gemilang versi Terengganu.
"Kalau di Pulau Pinang kesilapan bendera dianggap serius dan perlu dihukum secara politik, mengapa di Terengganu ia terus dianggap kes terpencil?" tanyanya.
Beliau turut mempersoalkan pendirian Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang sebelum ini lantang mengulas isu Jalur Gemilang di Pulau Pinang tetapi dilihat tidak memberikan reaksi sama terhadap insiden di Terengganu.
Ubtuk rekod pada April 2025, Ketua Dewan Muslimat Pas Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh pernah dalam kenyataan menyifatkan kesilapan berkaitan paparan Jalur Gemilang oleh akhbar berbahasa Cina sebagai tindakan tidak bertanggungjawab serta mencabar nilai asas kenegaraan.
Beliau dilaporkan membangkitkan isu paparan bendera yang tidak lengkap serta kedudukan Jalur Gemilang yang lebih kecil berbanding bendera China.
Justeru, prinsip tersebut, kata Haniff sepatutnya terpakai secara sama rata tanpa mengira latar belakang pihak yang melakukan kesilapan atau negeri berkenaan.
"Kalau kita benar-benar mahu mempertahankan Jalur Gemilang, jangan jadikan bendera sebagai senjata politik. Jangan keras apabila orang lain melakukan kesilapan tetapi lembut apabila kesalahan yang sama berlaku dalam kelompok sendiri.
"Itulah yang menyebabkan masyarakat melihat wujudnya patriotisme hipokrit dalam kalangan BN-PN," katanya.
Beliau berkata, isu Jalur Gemilang sepatutnya menjadi perkara yang menyatukan rakyat dan bukannya dijadikan bahan untuk menyerang mana-mana kaum, negeri atau parti politik.
"Patriotisme tidak boleh bermusim. Kalau kita sayang Jalur Gemilang, kita mesti mempertahankannya dengan prinsip yang sama di Pulau Pinang, Terengganu atau mana-mana negeri sekalipun," kata Haniff lagi.




Comments