Jadikan adab, akhlak sebagai asas kehidupan - Syeikh Wazir
- Suara Keadilan

- 4 hours ago
- 1 min read

Tokoh ulama, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki (gambar) menyeru umat Islam di negara ini supaya sentiasa menyayangi serta mengharapkan perkara terbaik untuk saudara seagama.
Menerusi ucapan pada Majlis Maulid Akbar, Permatang Pauh baru-baru ini, beliau menekankan bahawa sikap tersebut menepati ajaran Nabi Muhammad SAW serta tuntutan iman.
"Tuntutan mencintai saudara Islam bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang menegaskan bahawa seseorang tidak sempurna imannya sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.
"Umat Islam tidak seharusnya membiarkan perasaan benci terhadap saudara seagama berlarutan, apatah lagi menyemai kebencian itu dalam kalangan generasi muda," katanya dipetik laporan media.
Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki turut mengingatkan bahawa sikap membenci, mencaci, memfitnah, menyumpah atau mendoakan keburukan terhadap sesama Islam bukan akhlak seorang mukmin.
"Pendekatan yang lembut dan penuh hikmah lebih mencerminkan akhlak Islam serta dapat memelihara keharmonian masyarakat.
"Hubungan sesama Muslim perlu dibina atas dasar saling menghormati, menjaga tutur kata dan mengelakkan bahasa kasar ketika berbeza pandangan," jelasnya.
Menerusi ucapan yang sama beliau juga menegaskan, ajaran Islam tidak mengajar umatnya mencaci atau menzalimi mana-mana pihak. Justeru sikap menghormati terhadap orang bukan Islam juga perlu dipelihara.




Comments