Jabatan kerajaan diarah henti guna barangan import dalam acara rasmi
- Suara Keadilan

- Jun 21
- 1 min read
Updated: Jun 22

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua jabatan kerajaan untuk tidak menggunakan barangan import terutamanya makanan dalam acara rasmi.
Perdana Menteri berkata, penggunaan produk tempatan antaranya buah-buahan tempatan dalam acara anjuran kerajaan bukan sahaja menyokong ekonomi negara tetapi turut memberi peluang lebih luas kepada petani tempatan untuk memasarkan hasil mereka.
"Makanlah buah tempatan, perbendaharaan dah bagi arahan ya, no imported fruit ya.
"Jadi, kalau seluruh jabatan kerajaan (ikut arahan), maknanya peluang petani mengeluarkan bahan-bahan tempatan itu lebih banyak," katanya dipetik.
Beliau berkata begitu menerusi ucapan pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan, di Putrajaya pada Jumaat.
Sementara itu tambahnya, sudah menjadi kebiasaan di beberapa negara jiran yang dilawatinya seperti Laos, Vietnam dan Thailand menggunakan 100 peratus makanan tempatan dalam acara rasmi kerajaan.
"Laos, Vietnam, Thailand, saya belum pernah makan dalam upacara rasmi jemputan kerajaan-kerajaan ini bahan makanan import. Tidak ada, secara automatik mereka pastikan makanan tempatan," katanya.
Justeru Perdana Menteri menegur kecenderungan sesetengah pihak yang masih memilih makanan import untuk acara rasmi walaupun arahan jelas telah dikeluarkan yang tidak selari dengan semangat memperkasakan ekonomi tempatan.









Comments