Jabatan Imigresen berjaya tumpas 47 sindiket PATI
- Suara Keadilan
- Oct 16, 2024
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan beberapa agensi penguatkuasa yang lain telah berjaya menumpaskan seramai 47 sindiket melibatkan 1,285 tangkapan ahli dan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Perkara tersebut didedahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, angka berkenaan adalah sehingga bulan ini dan pihaknya sememangnya memandang berat isu membabitkan kegiatan 'counter setting' itu.
Katanya, kerajaan telah mengambil beberapa langkah tegas bagi menangani sindiket membawa masuk warga asing melalui modus operandi berkenaan.
"Ada tiga perkara dan yang pertama adalah membanteras sindiket yang membawa warga asing.
"Perkara kedua ialah meningkatkan kawalan penguatkuasa yang bertugas di kaunter.
"Yang ketiga pula adalah daripada meningkatkan penggunaan teknologi," katanya dalam sesi perbahasan hari ini.
Saifuddin berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).
Ahli Parlimen pembangkang itu meminta beliau menyatakan langkah tegas kerajaan dalam menangani sindiket membawa masuk warga asing melalui 'counter setting' yang turut didalangi penguatkuasa agensi yang bertugas di pintu masuk udara negara sehingga bolosnya sempadan negara.
Mengulas lebih terperinci, Saifuddin berkata, JIM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta agensi penguatkuasa yang lain sentiasa meningkatkan usaha membanteras sindiket tersebut yang membawa masuk pekerja asing secara haram melalui kerjasama strategik sesama mereka.
"Jadi kita kena banteras menerusi usahasama dengan agensi penguatkuasa.
"Kita juga memperketatkan pemeriksaan di kaunter-kaunter pintu masuk bagi memastikan mereka yang layak sahaja masuk ke dalam negara ini.
"Sehingga September tahun ini, kita telah mengenakan arahan Notis Penolakan Masuk (NTL) kepada seramai 25,214 warga asing,'' jelasnya lagi.
Bagi kakitangan yang bertugas di kaunter JIM pula, Saifuddin berkata, pemantauan seliaan ke atas mereka turut dipertingkatkan.
Katanya, penyelia juga mengadakan lawatan mengejut ke kaunter-kaunter tersebut.
"Rondaan dipertingkatkan, pantau melalui kamera litar tertutup (CCTV) di bilik kawalan.
"Pegawai (JIM) yang bertugas di kaunter juga tidak dibenarkan membawa alat telekomunikasi.
"Sebelum dia bertugas dan selepas dia keluar, kita lakukan pemeriksaan badan ke atas mereka," ujarnya lagi.
Comments