Jabatan Alam Sekitar perlu dedah bacaan kualiti air Tasik Chini yang sebenar


Kerajaan Pahang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) digesa untuk telus dalam mempamerkan bacaan kualiti air di Tasik Chini.


Ini setelah jurucakap Alam Sekitar KEADILAN, Fuziah Salleh menyatakan keraguannya terhadap kenyataan Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang yang memaklumkan bahawa tahap kualiti air Tasik Chini masih bersih dan selamat untuk semua hidupan.


Padahal, kerajaan negeri Pahang baru sahaja meluluskan satu projek perlombongan berhampiran dengan tasik tersebut.


"Saya difahamkan bahawa pemantauan terhadap tasik berkenaan telah dilakukan sejak ia dianugerahkan status rizab biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), pada Mei 2009.


"Manakala pada 13 Mac 2019 pula kerajaan negeri telah bersetuju mewartakan kawasan seluas 4,498 hektar di tasik itu sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).


"Namun baru-baru ini kerajaan negeri Pahang meluluskan satu projek perlombongan manganese di kawasan sebesar 40.51 hektar (sebesar 60 padang bola) kepada syarikat Hanishah Ventures Sdn Bhd di satu kawasan berhampiran dengan Tasik Chini.


"Dokumen EIA juga dilaporkan menujukkan kewujudan beberapa lombong lain yang kecil-kecil di sekitar dan lebih hampir dengan kawasan Tasik Chini.


"Tentu sekali projek-projek ini dikhuatiri akan menjejaskan kelestarian alam di kawasan tasik tersebut yang merupakan tasik semulajadi kedua terbesar di Malaysia," katanya.


Justeru, Fuziah meminta JAS mendedahkan data kualiti air di kesemua 15 stesen pemantauan tersebut sebagai bacaan ‘baseline’ serta mempamerkan data bacaan kualiti air pada setiap bulan dari kesemua 15 stesen tersebut.


"Ini supaya rakyat boleh sama-sama memantau impak dari perlombongan manganese yang baru diluluskan tersebut serta juga pencemaran dari lombong-lombong yang lain di sekitar.


"Komitmen ini dituntut dari kerajaan negeri Pahang sekiranya mahu membuktikan bahawa kerajaan negeri komited di dalam usaha menjamin kelestarian alam semulajadi serta pemuliharaan kawasan Rizab Biosfera UNESCO seperti yang dijanjikan," katanya.


Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan turut mempersoalkan ketepatan bacaan kualiti air yang dikeluarkan oleh JAS.


"Kita dapati bahawa JAS hanya menggunakan 4 parameter sebagai ukuran bacaan kualiti air di Tasik Chini dimana parameter-parameter utama yang diukur ialah Keperluan Oksigen Biokimia (BOD), Pepejal Terampai (SS), Nitrogen Amonia (AN) dan Besi (Fe).


"Berdasarkan bacaan dalam jangka masa satu tahun menggunakan 4 parameter tersebut JAS membuat rumusan bahawa kualiti air Tasik Chini adalah bersih.


"Namun saya ingin membawa kepada perhatian umum bahawa apabila melibatkan aktiviti perlombongan, kekhuatiran kita ialah kehadiran logam berat di dalam air yang mungkin mengalir dari lombong, yang kemudiannya masuk ke Tasik Chini, di mana bacaan kandungan logam berat tidak terkandung di dalam laporan JAS tersebut.


"Dari pengalaman aktiviti perlombongan bauksit yang tidak terkawal di Bukit Goh satu ketika dahulu, kita dapati kehadiran logam berat seperti raksa dan kadmium dalam kandungan yang amat tinggi di dalam air sungai di hiliran aktiviti perlombongan tersebut," katanya.


Justeru, beliau menggesa JAS menambah parameter ukuran yang digunakan untuk bacaan kualiti air di Tasik Chini dan juga mendedahkannya kepada orang ramai.


"Selagi bacaan logam berat tidak didedahkan, maka tidak wajar bagi pihak JAS untuk mendakwa bahawa kualiti air di Tasik Chini adalah bersih," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
19198
292
20980
Total
1,979,698
20,711
1,721,710

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
349,788
5,246
372,363
Total
225,423,690
4,643,538
200,274,221

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER