J-KOM kukuh kerjasama strategik sampaikan maklumat secara berkesan
- Suara Keadilan

- 3 days ago
- 1 min read

Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) komited untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama kementerian pelaksana bagi memastikan maklumat dan dasar kerajaan disampaikan secara berkesan, tersusun dan menyeluruh kepada rakyat.
Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusop (gambar) berkata, komunikasi kerajaan tidak boleh digalas satu agensi semata-mata, sebaliknya perlu bermula di peringkat kementerian sebelum diselaraskan dan disebarluaskan melalui agensi termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan J-KOM.
"Ekosistem komunikasi kerajaan diselaraskan melalui Jawatankuasa Strategik Komunikasi Kebangsaan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
"Mesyuarat diadakan dari semasa ke semasa bersama agensi berkaitan bagi memastikan keselarasan mesej serta pelaksanaan inisiatif kerajaan di semua peringkat," katanya dipetik.
Ismail ditemui pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI J-KOM di Surau Aziziah, Kampung Sungai Mati di Taiping pada Sabtu.
Menerusi inisiatif tersebut, hampir RM600,000 disalurkan kepada Kampung tersebut bagi melaksanakan tujuh projek fizikal di kampung berkenaan, termasuk pembinaan dan naik taraf longkang konkrit bagi mengurangkan risiko banjir
Selain itu, peruntukan digunakan bagi kerja-kerja naik taraf surau, penyediaan dewan serbaguna serta penurapan jalan kampung, selaras komitmen Kerajaan MADANI membela kebajikan rakyat di peringkat akar umbi.









Comments