top of page

Isu UEC: PENA sokong ketegasan PM dalam utamakan Bahasa Melayu

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 14, 2025
  • 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman


Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).


Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad (gambar) berkata, pendirian Perdana Menteri dalam isu tersebut selaras dengan aspirasi persatuan berkenaan yang konsisten memperjuangkan pemerkasaan Bahasa Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


"Sistem pendidikan kebangsaan tidak wajar dipermain-mainkan oleh mana-mana pihak, termasuk institusi swasta, walaupun mereka mendakwa mendapat pengiktirafan universiti antarabangsa.


"Meskipun parti politik berusaha mendapatkan sokongan pengundi, kerajaan tidak seharusnya tunduk kepada sebarang tuntutan yang bercanggah dengan sistem pendidikan yang dirangka berasaskan Perlembagaan.


"Bahasa Melayu merupakan antara teras Perlembagaan dan tidak boleh dikompromi atau diketepikan dalam sebarang rundingan, lebih-lebih lagi melibatkan tuntutan yang bersifat tekanan atau ugutan politik," katanya dalam kenyataan.


Anwar baru-baru ini menegaskan bahawa penguasaan bahasa Melayu perlu lebih dahulu dimantapkan sebelum mempertimbangkan sebarang cadangan untuk mengiktiraf UEC.


Beliau berkata sebagai Perdana Menteri, prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan bahasa Melayu akan terus didukung dan dipertahankan.


Sementara itu, Mohamad Saleeh dalam kenyataannya mengakui penguasaan bahasa lain penting sebagai nilai tambah, namun ia tidak boleh mengorbankan bahasa kebangsaan.


Justeru PENA, katanya, sedia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi merangka program inklusif demi memartabatkan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page