Isu UEC: AMANAH sokong pendirian PM pertahan Bahasa Melayu
- Suara Keadilan
- 5 hours ago
- 2 min read

Parti Amanah Negara (AMANAH) menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menegaskan keutamaan Bahasa Melayu sebagai asas utama dalam sebarang keputusan berkaitan pendidikan negara, termasuk isu pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC).
Menurut Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat, Azli Yusof (gambar), Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mesti kekal sebagai teras sistem pendidikan negara dan pendirian Perdana Menteri mempertahankan prinsip itu adalah selaras dengan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Pendidikan 1996.
"Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan hendaklah kekal sebagai teras dalam sistem pendidikan. Pendirian Perdana Menteri menolak tekanan mana-mana pihak adalah selaras dengan semangat Artikel 152 Perlembagaan Malaysia dan Akta Pendidikan 1996," katanya dalam satu kenyataan.
AMANAH menegaskan bahawa sebarang tuntutan berkaitan pendidikan yang menyentuh soal bahasa, agama dan kaum perlu berpaksikan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, yang berperanan sebagai bahasa ilmu dan perpaduan nasional.
"Mengekalkan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan asas perpaduan nasional adalah prinsip utama yang perlu dipertahankan dan dihormati," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, isu pengiktirafan UEC tidak boleh dilihat semata-mata dari sudut kelayakan akademik, sebaliknya melibatkan persoalan lebih besar berkaitan bahasa kebangsaan, identiti nasional dan hala tuju sistem pendidikan Malaysia.
AMANAH, katanya, turut menegaskan bahawa kerajaan perlu memastikan dasar pendidikan bersifat inklusif dan tidak meminggirkan mana-mana kaum, namun pada masa sama tidak boleh tunduk kepada tuntutan yang boleh menjejaskan integriti sistem pendidikan negara.
"Pendidikan nasional mesti bergerak ke arah integrasi, bukan pemisahan. Keputusan Perdana Menteri adalah langkah tepat bagi mengelakkan fragmentasi yang lebih luas," menurut kenyataan itu.
AMANAH juga menolak dakwaan bahawa isu pengiktirafan UEC merupakan soal diskriminasi terhadap mana-mana aliran pendidikan.
"Kemelut pengiktirafan UEC bukanlah soal diskriminsi atau penolakan terhadap mana-mana aliran pendidikan. Ia soal memelihara akta pendidikan, dasar bahasa kebangsaan, struktur negara, dan matlamat perpaduan."
Sehubungan itu, Azli menolak sebarang usaha mempolitikkan isu UEC sehingga mencetuskan polemik dan ketegangan awam.
AMANAH, kata beliau, menggesa semua pihak menghormati batas Perlembagaan dan dasar nasional bagi memastikan kestabilan sistem pendidikan serta keharmonian antara kaum terus terpelihara.
"Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar didokong untuk menjamin dasar pendidikan yang berlandaskan perpaduan, keadilan dan kepentingan negara," katanya lagi.





