Oleh: Abdullah Zaid
Krisis tunggakan gaji membabitkan pemain pasukan bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang berlarutan sejak empat bulan lalu masih tidak menemui titik penyelesaian.
Malah, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selaku penaung bagi bola sepak negeri itu tidak boleh hanya berlepas tangan dalam isu tersebut.
Bagi Pengarah Komunikasi Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah, Mohammad Fitri Ismail, Menteri Besar Kedah berkenaan seharusnya mempunyai ‘keazaman politik’ untuk menyelesaikan masalah terutama dari aspek bantuan kewangan selain bertanggungjawab memberi penjelasan lanjut mengenai isu berkenaan.
"Saya berpandangan Sanusi perlu ada ‘political will’ tidak boleh hanya berpeluk tubuh malah perlu mengambil tanggungjawab mencari penyelesaian dalam isu ini," katanya kepada Suara Keadilan.
Jelas beliau, isu tunggakan gaji sepatutnya selesai pada 31 Januari lalu yang masih tiada penyelesaian perlu ditangani dengan cara yang lebih prihatin biar pun pasukan tersebut bukan di bawah Kerajaan Negeri secara langsung dan dibiayai oleh penaja.
Kepada pihak pengurusan pula, Fitri berkata, penjelasan yang konkrit perlu diberikan berkenaan hala tuju KDA FC seterusnya dan tidak membiarkan anggota pasukan itu terus meraba raba mengenai masa hadapan mereka.
"Pihak pengurusan beri jaminan isu tunggakan gaji akan selesai, namun, sehingga kini mereka (pemain) masih lagi tidak mendapat bayaran gaji.
"Oleh itu saya berpandangan pihak pengurusan perlu beri penjelasan sebenar kepada pemain yang berhak tahu hala tuju dan situasi sebenar mereka.
"Bayangkan pekerja yang bekerja tanpa gaji ia sudah pasti akan memeritkan mereka dengan tanggungjawab menampung diri dan keluarga," ujarnya lagi.
Sebelum ini, tular perkongsian video di media sosial yang mendakwa pemain Kedah ‘mengemis’ untuk mendapatkan hak mereka selepas beberapa bulan mengalami tunggakan pembayaran gaji.
Dalam hal berkaitan, pihak pengurusan KDA FC mengakui pasukannya mengalami masalah tunggakan gaji membabitkan skuad utama Liga Super serta pasukan bawahan kelab itu.
Justeru, badan pengurusan bola sepak negeri itu berjanji untuk tanggungjawab dan melangsaikan tunggakan gaji yang menghantui pasukan itu.
Comentarios