top of page

Isu Surat Sokongan: Dibenarkan jika tidak pengaruhi keputusan - Khairul

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 8 minutes ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Dakwaan bahawa satu surat daripada pejabat Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, adalah ‘surat sokongan’ yang melibatkan salah guna kuasa tidak sebagaimana digambarkan.


Ketua Biro Guaman dan Aduan Awam Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Khairul Naim Rafidi (gambar) berkata, surat itu sebaliknya merupakan prosedur sah untuk menyampaikan permohonan, dan tidak mempengaruhi sebarang keputusan kerajaan.


Katanya, sebagai seorang pengamal undang-undang, beliau melihat wujud keperluan untuk meluruskan pemahaman awam secara objektif mengenai isu surat sokongan dan setakat mana dibenarkan.


"Apa itu surat sokongan? Salah satu kekeliruan terbesar adalah menganggap apa-apa surat daripada pejabat politik secara automatik menjadi ‘surat sokongan’. Ini bertentangan dengan definisi dan takrifan sebenar undang-undang.


"Di bawah Garis Panduan Pengendalian Sokongan oleh Anggota Pentadbiran (JPM, 21 Mei 2024), Perenggan 4(g) menyebut secara jelas bahawa sokongan bererti sebarang bentuk komunikasi yang bertujuan menyokong sesuatu permohonan yang mana perkara yang disampaikan melalui komunikasi tersebut bukan di bawah bidang kuasa atau mempengaruhi pertimbangan membuat sesuatu keputusan dalam bindang kuasa Anggota Pentadbiran tersebut.


"Jika dilihat secara teliti (surat sokongan) intipati teras ialah niat atau kesan mempengaruhi keputusan. Oleh itu, dalam keadaan apabila tiada unsur ‘mempengaruhi’, maka ia bukan sokongan.


"Jika kandungan sesuatu surat itu hanya bersifat pemakluman atau penyampaian, ia tidak boleh dikategorikan sebagai sokongan," jelas beliau dalam satu muat naik di media sosial.

Laskar siber cuba tohmah Kamil Munim
Laskar siber cuba tohmah Kamil Munim

Menurut Khairul Naim yang juga seorang peguam, surat yang ditularkan berkaitan Kamil Munim jelas tidak memenuhi unsur berkenaan iaitu tidak wujud permintaan untuk kelulusan.


Beliau menegaskan, surat tersebut tidak mengandungi cadangan atau sebarang bentuk tekanan, sama ada secara langsung atau tersirat.


"Surat Penyampaian (Forwarding Letter) Adalah Prosedur Sah – Perenggan 6(a) & (b). Ramai tidak sedar bahawa garis panduan yang sama membenarkan pejabat anggota pentadbiran menerima dan menyampaikan permohonan.


"Dalam Perenggan 6(a)–(b) Garis Panduan tersebut, ia jelas menyatakan bahawa jika Anggota Pentadbiran menerima permohonan sokongan, ia hendaklah diterima dan dikendalikan dengan memastikan agar permohonan tersebut didaftarkan dan difailkan dengan sewajarnya termasuk merekodkan butir-butir permohonan sokongan tersebut.


"Tatacara berhubung dengan perkara ini jelas telah dinyatakan dalam garis panduan, maka surat penyampaian yang ditularkan tersebut jika dilihat secara teliti sebenarnya tidak memberi kelebihan kepada mana-mana pihak, tidak memaksa agensi, tidak melibatkan sokongan dan ia tidak boleh dianggap sebagai salah laku," jelas beliau lagi.


Berdasarkan keseluruhan peruntukan garis panduan, Khairul Naim berkata, isi kandungan surat tersebut adalah sekadar penyampaian permohonan dan dibuat mengikut prosedur yang dibenarkan, malah tidak wujud sebarang unsur salah laku.


Isu itu ujarnya, menjadi panas bukan kerana undang-undang yang rumit tetapi kerana tafsirannya disebarkan tanpa merujuk teks sebenar.


"Saya berpendirian politik mesti ditingkatkan daripada fitnah kepada fakta, dan undang-undang perlu menjadi penentu, bukan emosi atau manipulasi.


"Kebenaran tidak berubah walaupun dipersembahkan melalui potongan gambar. Undang-undang tetap undang-undang dan fitnah tetap fitnah," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page