Isu simbol bulan: Kecuaian serius perlu diambil tindakan - Onn
- Suara Keadilan
- Apr 17
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Sebarang simbol yang berkaitan dengan negara sememangnya perlu dipertahankan, demikian tegas Onn Abu Bakar.
Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata, pihak yang terlibat dalam isu itu sepatutnya meneliti serapi mungkin sesuatu bahan sebelum ia disiarkan kepada umum.
''Kena teliti dan semak sebelum siarkan. Saya berpendapat, kecuaian seperti itu tidak boleh dimaafkan. Kalau dalam tentera misalnya, tindakan memang sudah dikenakan jika didapati ada kesilapan,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada Suara Keadilan ketika dihubungi bagi mengulas isu ilustrasi bendera Malaysia tidak lengkap tanpa bulan sabit yang disiarkan sebuah akhbar tempatan semalam.
Ditanya tentang cubaan sesetengah pihak yang mahu menjadikan hal itu sebagai isu menghangatkan suasana, Onn yang juga Setiausaha Politik Pejabat Presiden KEADILAN menyifatkan semua pihak perlu bertenang ketika ini.
''Semua perlu bertenang. Pembangkang sudah-sudahlah bermain dengan isu ini.
''Pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pun sedang menyiasat. Bagi mereka ruang untuk uruskan,'' ujarnya lagi.
Memetik laporan Harian Metro semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap akhbar tersebut susulan tiga laporan yang diterima berhubung kejadian berkenaan.
Pengurusan akhbar terbabit bagaimanapun dilaporkan telah tampil memohon maaf atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang itu pada muka hadapan akhbar.
Sementara itu Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan semalam berkata, perbualan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang merupakan lambang kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah suatu kecuaian yang serius dan tidak sewajarnya dilakukan.
Perbuatan itu juga bukan sahaja mencerminkan kelalaian profesionalisme, malah boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini.
Comments