Isu saman fitnah Dusuki: Ciapan saya wajar, betul dan layak- Dr Mujahid


Oleh: Abdullah Zaid
Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abd Rani dilihat masih tidak berpuas hati terhadap Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berhubung saman fitnahnya terhadap Senator Dewan Negara itu.
Menerusi satu kenyataan, Dusuki atau lebih dikenali sebagai Ustaz Dusuki masih mendakwa dirinya sebagai mangsa walaupun beliau sendiri menarik balik saman fitnah terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berhubung isu Tabung Haji.
"Kalau itu yang dikatakan (kenyataan balas) sepatutnya kes itu perlu diteruskan ke Mahkamah Rayuan tetapi dia (Dusuki) tarik balik," kata Mujahid Rawa ketika dihubungi.
Tambahnya sebagai individu yang menyaman, pemimpin Pas itu tidak sepatutnya mempertikaikan keputusan penolakan saman beliau oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Melalui kenyataan tersebut, kata Mujahid, Dusuki jelas keliru dan seolah-olah tidak mempercayai kewibawaan Mahkamah Rayuan berkenaan dengan kredibiliti rayuannya.
"Keputusan mahkamah (Mahkamah Sesyen) mendapati ciapan saya itu wajar, betul dan layak.
"Dia (Dusuki) kemudiannya bawa ke Mahkamah Tinggi juga ditolak, belum sempat bawa ke Mahkamah Rayuan dia tarik balik.
"Dalam kenyataan itu juga bercanggah, seolah-olah dia tidak percaya kepada Mahkamah (Rayuan)," ujar Mujahid.
Sebelum ini, Dusuki membuat saman fitnah ke atas kenyataan Mujahid di Twitter pada 22 November 2020 iaitu, “Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan.”
Dusuki kemudiannya kalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam apabila penghakiman memutuskan bahawa kata-kata Mujahid itu bukannya fitnah dan diperintah membayar RM11,000 kepada pemimpin Amanah itu.
Kemudian, Dusuki sekali lagi diperintah untuk membayar RM 7,000 apabila Mahkamah Tinggi turut menolak rayuan saman fitnahnya.
Dalam pada itu, menerusi kenyataan terbaharunya penceramah bebas tersebut menyifatkan dirinya tidak mendapat keadilan sewajarnya dan ‘bermunajat’ daripada ‘pelaku yang tidak boleh melaksanakan keadilan Islam’




Comments