Putus hubungan dengan PH: Bolehkah peringkat Bahagian buat keputusan?
- Suara Keadilan

- Sep 26
- 2 min read
Updated: Sep 27

Penganalisis politik, Shahbudin Embun, menyifatkan keputusan drastik seperti memutuskan hubungan politik antara UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri sebagaimana yang berlaku di Wilayah Persekutuan tidak wajar dibuat hanya oleh UMNO Bahagian tanpa merujuk kepada pimpinan tertinggi parti.
Beliau mempersoalkan kewajaran tindakan Ketua UMNO Bahagian Batu baru baru ini yang didakwa mahu memutuskan hubungan dengan PH.
"Entiti UMNO Bahagian saja boleh kah membuat keputusan memutuskan hubungan politik dengan PH di peringkat Negeri?
"Bila pula UMNO Bahagian dapat status full autonomy yang diberi oleh parti seperti (autonomi) dimilikki UMNO Sabah?" katanya dalam kenyataan.

Shahbudin berpandangan bahawa langkah sedemikian boleh menimbulkan pergeseran dalaman parti serta menjadi duluan yang kurang baik bagi gabungan politik pemerintah.
"Bagi saya sebagai penganalisis politik ia bukan sesuatu yang bijak kerana ia mungkin mencetuskan ketegangan dan mendahului kuasa kepimpinan pusat bagi keputusan sebesar itu," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, segera menetapkan garis panduan jelas mengenai isu-isu seumpama ini supaya tidak menjejaskan kestabilan parti dalam Kerajaan Perpaduan.
"Masing-masing wajib faham bahawa ikatan kita dalam Kerajaan Perpaduan ini berbentuk grand coalition yang longgar. Pastinya ada kelemahannya kerana tidak ada MoU atau perjanjian yang sempurna yang melibatkan kewujudan kerajaan ini," katanya.
Beliau menegaskan bahawa sebarang isu seumpama itu wajar diselesaikan secara berhikmah dan mencari jalan menang-menang (win-win situation) untuk semua pihak.
"Dalam pengetahuan saya, banyak juga isu sebegini berlaku di negeri-negeri lain tetapi masih terkawal. Yang pentingnya ia dibawa ke meja rundingan dan diselesaikan atas semangat Kerajaan MADANI yang menitikberatkan keadilan, kesaksamaan dan kepentingan nasional," tambahnya.
Minggu lalu, UMNO Bahagian Batu mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan politik dengan komponen Pakatan Harapan (PH) di peringkat Parlimen Batu dan Wilayah Persekutuan susulan isu pelantikan dalam Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).









Comments