Isu kurangnya pimpinan India yang ditimbulkan usai Pemilihan KEADILAN 2022 selesai dengan pertemuan 26 Ketua Cabang KEADILAN bersama Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan di Ibu Pejabat KEADILAN itu, Ketua ketua Cabang maklum dan yakin dasar KEADILAN yang komited membela masyarakat India melalui pelbagai kaedah dan ikhtiar politik.
Mereka juga berpuas hati dengan jaminan Presiden KEADILAN berhubung isu isu yang membelenggu masyarakat India dan perlu dicari jalan untuk mengatasinya.
"Kami, 26 Ketua Cabang KEADILAN dari kalangan kaum India telah mengadakan pertemuan dengan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hanya 7 Ketua Cabang dari jumlah keseluruhan 33 Ketua Cabang kaum India tidak dapat hadir dengan maaf
"Dalam pertemuan tersebut Presiden telah mengingatkan KEADILAN adalah parti berbilang kaum dan komited membela semua kaum.
"Kami, sebagai pimpinan masyarakat India bersama dengan pimpinan lain juga perlu memainkan peranan untuk memastikan masyarakat India di Cabang dan negeri dibela.
"Beliau juga menarik perhatian kepada isu-isu kemiskinan, masalah pendidikan dan sosio ekonomi, kerakyatan dan skandal skandal saham MAIKA serta dana MITRA," kata kenyataan berkenaan.
Menurut kenyataan itu lagi, isu kekurangan pimpinan masyarakat India dalam KEADILAN juga disentuh tetapi diselesaikan secara baik dan diharap tidak lagi ditimbulkan selepas pertemuan berkenaan.
"Beberapa Ketua Cabang meluahkan pandangan tidak puas hati dengan pelantikan Presiden (jawatan lantikan).
"Tetapi akhirnya selepas mendengar pandangan Presiden dan Ketua Cabang lain, semua dalam pertemuan sebulat suara setuju topik pelantikan ini perlu ditutup serta merta dan tidak diwarwarkan lagi, di mana hak pelantikan adalah budibicara mutlak Presiden, dan semua pemimpin perlu melihat dan bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan untuk menumpukan semua tenaga untuk memenangi PRU 15," kata kenyataan itu lagi.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah anggota Majlis Pimpinan Pusat yang dilantik, Manivannan Gowin dan R. Yuneswaran.
Comments