Isu perpaduan lebih santai disampaikan melalui kartun - Zunar
- Suara Keadilan
- 29 minutes ago
- 2 min read

Isu perpaduan kaum di Malaysia merupakan tajuk yang berat dan seringkali tidak menarik minat generasi muda untuk menghayatinya.
Sehubungan itu kartunis reformis terkenal negara, Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau Zunar mengambil pendekatan yang lebih santai untuk mengenengahkan topik perpaduan di khalayak berbilang kaum dan umur.
Usahanya itu dipersembahkan melalui Festival Kartun Perpaduan di Muzium Negara yang berlangsung pada 18 - 19 Okt 2025.
"Perpaduan merupakan satu topik yang serius. Selama ini disampaikan dengan bentuk serius. Jadi kami kartunis menambah satu dimensi lain, ertinya topik serius sudah ada, saya mahu bagaimana kalau kartun dihasilkan membawa mesej begitu (perpaduan).
"Orang lebih mesra dengan kartun, dia santai, dapat menarik lebih banyak orang. Remaja terutamanya suka kartun. Mungkin remaja ini perkara serius mereka tidak ambil berat, sekarang kita guna kartun.
"Kartun punyai pelbagai keistimewaan merentasi kaum dan umur, kadang orang tua baca kartun dia faham," katanya dalam sidang media selepas perasmian Festival Kartun Perpaduan semalam.

Menurut Zunar, ini kali ketiga pameran kartun yang agak besar dibuat oleh pihak beliau dengan kerjasama beberapa pihak, terutama agensi kerajaan.
Pada masa depan, beliau bertekad untuk menjadikan aktiviti pameran kartun seperti itu sebagai acara penting di negara ini dan akan menyertai pelbagai acara besar.
Mengenai Festival Kartun Perpaduan, kata Zunar, pelbagai acara melibatkan pelukis kartun dirancang. Manakala orang ramai digalakkan terlibat sama mengambil bahagian dalam pameran tersebut.
"Ada peraduan melukis dan mewarna, melengkapkan lukisan. Orang ramai boleh ambil bahagian di satu dinding dipanggil kanvas terbuka.
"Kita mahu semua orang ambil bahagian. Ada kuiz kartun dan ada jualan karya seni, juga sesi wayang kulit," katanya lagi.
Difahamkan sebanyak 587 kartunis terlibat dalam semua pameran sepanjang dua hari ini. Antaranya, kartunis seperti Datuk Imuda, Zunar, Oly Lukis, Lum Weng Wag, Joca, Jonos, Fakhrul Anuor, Aveen, Al - Aina, Art Saad, Pauh, Manzar, Teacher Intan, Sukhbir, Nana, Ki To Sia dan juga artis-artis jemputan seperti Marisa Yasmin dan Diana Danielle.