top of page

Isu penghakiman 40% hasil Sabah: Politik ugut letak jawatan tidak sihat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • a few seconds ago
  • 2 min read
ree

Tindakan segelintir pemimpin Kerajaan Perpaduan Sabah yang mengugut Kerajaan Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai hak negeri itu terhadap 40 peratus hasil Persekutuan ditegur Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (gambar).


Menurut Hassan, tindakan ahli politik terbabit mengugut untuk meletakkan jawatan Menteri sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut adalah satu bentuk “political ransom” yang tidak sihat dan tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara.


"Kasihan saya kepada Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Ada parti dan ada Menteri Kerajaan Pusat dari Sabah ugut Kerajaan Persekutuan," katanya mengulas ugutan yang dilapor media berbunyi: "Jika Jabatan Peguam Negara buat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengiktiraf hak Perlembagaan Sabah berkaitan pembayaran 40 peratus hasil Sabah maka Menteri dalam kabinet Kerajaan Persekutuan dari Sabah akan letak jawatan".


Hassan menjelaskan, keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengiktiraf hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan perlu melalui proses perundangan yang lengkap bagi memastikan keadilan ditegakkan secara menyeluruh.


"Mahkamah telah beri kebenaran untuk pemohon memfailkan semakan kehakiman. Maka berikan hak kepada AGC buat semakan ke atas alasan penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu.


"Perjalanan proses undang-undang tidak boleh dihalang. Berilah peluang kepada AGC menjalankan tugasnya jika kita menghayati prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan," tegasnya.


Beliau menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Persekutuan, dan sebarang percubaan menggunakan tekanan politik terhadap kerajaan pusat boleh menjejaskan kestabilan dan prinsip kedaulatan undang-undang.


"Mengapa perlu diugut Kerajaan Persekutuan dengan kata dua? Mengapa perlu ganggu fungsi mahkamah? Perlu difahami bahawa sesuatu kes yang bermula di Mahkamah Tinggi boleh dirayu hingga ke Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan," ujarnya.


Hassan turut menegaskan bahawa isu 40 peratus hasil Sabah merupakan perkara Perlembagaan yang tertakluk di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, dan keputusan muktamad hanya boleh dibuat oleh Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, bukan oleh mana-mana pihak melalui tekanan politik.


"Jika alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu kuat dari segi fakta dan undang-undang tentu sahaja. Mahkamah Rayuan akan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu. Begitulah juga jika kes itu dirayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan.


"Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu oleh seorang hakim perlu melalui ujian dan semakan oleh hakim hakim yang lebih kanan di Mahkamah Rayuan Malaysia dan seterusnya di Mahkamah Persekutuan," ujarnya.


Tambah beliau, Kerajaan Persekutuan telah menunjukkan komitmen tinggi terhadap Sabah apabila peruntukan dalam Belanjawan 2026 kepada negeri itu yang diumum baru baru ini adalah antara yang tertinggi berbanding negeri lain di Semenanjung.


"Dalam belanjawan Persekutuan bagi tahun 2026 Sabah dapat peruntukan yang tinggi berbanding Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah, malah mengatasi semua negeri-negeri di Semenanjung," katanya.


Hassan mengingatkan bahawa Malaysia boleh berpecah jika budaya ugutan politik diteruskan dan menyeru agar semua pihak menghormati proses undang-undang serta prinsip keluhuran Perlembagaan.


"Malaysia sebuah negara Persekutuan akan pecah jika politik ugutan digunakan untuk melemahkan kerajaan Persekutuan. Biarlah undang-undang berjalan tertib dari Mahkamah Tinggi hingga Mahkamah Persekutuan," kata beliau lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page