Propaganda Melayu ditindas yang ditimbulkan oleh pembangkang Perikatan Nasional (PN) pada waktu ini di Selangor tidak tepat dan tidak benar sama sekali.
Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan & Pembangunan Modal Insan negeri, Mohd Khairuddin Othman menegaskan isu tersebut tidak mendapat tempat dalam kalangan pengundi di Selangor kerana mereka lebih bijak menyelidiki maklumat.
"Isu dimainkan (PN) Melayu ditindas, kat mana Melayu ditindas di Selangor, saya tak nampak. Melayu membangun.
"Tidak ada kerajaan nak tindas Melayu dalam Malaysia ini. Kalau PN merasakan Islam dan Melayu ditindas saya ingat itu pemikiran yang sangat cetek, tak ada.
"Hukum akal Melayu, Cina, India tidak akan ditindas, Islam akan dipertahankan kerana agama rasmi kita.
"Saya nak tanya mana masjid tak boleh sembahyang? Kita sembahyang, kita makmurkan masjid kita. Sekolah agama kita pertahankan.
"Saya yakin isu agama dan isu bangsa Melayu tertekan atau tertindas tidak laku di negeri Selangor. Dia boleh bawa isu ke Kelantan, Terengganu tetapi tidak di Selangor," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Korban Perdana Aidiladha DUN Paya Jaras dan Kenduri Rakyat bersama Majlis Permuafakatan Saujana Utama pagi tadi.
Tegas Khairuddin, beliau yakin dengan dasar dasar yang dibuat oleh Kerajaan Negeri sejak 5 tahun lalu yang tidak mengambil kira fahaman politik dalam memberi bantuan serta turut menguntungkan masyarakat Melayu akan diterima rakyat.
"Saya yakin program yang diperkenalkan oleh Menteri Besar dapat diterima ramai dengan baik dan saya harap pengundi dapat menilai dengan baik. Jangan termakan isu tidak benar. Isu agama, isu Melayu, isu pembohongan semata mata.
"Perlu diingat saya orang Melayu Islam dan tidak mungkin saya akan menindas bangsa dan agama saya sendiri," katanya.
Berkenaan hubungan Pakatan Harapan (PH) dan BN di peringkat DUN, Ahli Dewan Negeri Paya Jaras itu berkata kerjasama amat baik dan masing masing parti akan bekerja keras untuk kemenangan.
"Dua malam sudah kita (PH) telah bermesyuarat dengan kepimpinan BN dan kita sudah berkeyakinan dan yakin untuk kita kekal di Selangor, dan nafikan PN," katanya.
Dalam pada itu, Khairuddin juga berkata, satu program bantuan kepada penghantar barang atau rider fasa 2 akan diadakan sebelum hari penamaan calon bagi memberi sumbangan kepada rider yang terlepas dalam senarai bantuan fasa 1 lalu.
"Ride ini diumumkan oleh MB tambahan RM1 juta oleh belia belia Ride yang mohon dan tak dapat dalam program baru baru ini. Kita akan buat fasa 2,
"Akan dibuat sebelum penamaan calon," katanya lagi.
Comments