Tindakan Kerajaan Negeri Pahang yang memilih mengunakan kekerasan menyelesaikan isu pencerobohan tanah oleh petani durian Musang King di Raub, Pahang disifatkan sebagai pendek akal dan tidak inovatif.
Mantan Timbalan Menteri Pertanian, Sim Tze Tzin berkata, Kerajaan Negeri seharusnya lebih bijak berfikir dan mengambil kaedah penyelesaian menang-menang di antara petani dan kerajaan.
Katanya, isu itu boleh diatasi melalui 5 tahap, meliputi kaedah pemutihan peneroka tanpa lesen, pengagihan tanah seimbang, keadilan kontrak dan penguatkuasaan.
"Memang dalam hal ini Kerajaan Negeri berhak ke atas tanah kerajaan. Oleh itu pemutihan perlu dijalankan (peneroka haram diberi lesen).
"Kenapa (kerajaan) beri hak kepada syarikat (ladang durian tetapi) bukan pekebun yang usahakan tanaman?
"(Sebaiknya) pemutihan lebih molek jika pekebun sedia ada diberi pajakan dan bayar cukai tanah terus kepada kerajaan," katanya di twitter.
Ahli Parlimen Bayan Baru itu juga menyentuh soal pengagihan tanah yang tidak seimbang.
Katanya, Kerajaan Negeri lebih suka meluluskan tanah beribu ekar kepada syarikat besar tetapi pekebun kecil amat sukar untuk memperolehi tanah walau beberapa ekar.
Sedangkan kata Sim, yang mengusahakan tanah sebenarnya adalah petani bukan syarikat.
Beliau berkata isu perbalahan antara penanam durian di Raub dan syarikat yang dikurniakan tanah kebelakangan ini menjadi lebih rumit apabila petani diarah menandatangani kontrak mengutip hasil yang tidak seimbang.
"Syarikat menawarkan perjanjian yang dianggap tidak adil kepada petani. Maka petani terpaksa bangkit lawan," katanya.
Manakala isu penguatkuasaan yang dilakukan Kerajaan Negeri sekarang, kata Sim, tidak sepatutnya berlaku ketika kes ladang durian berkenaan masih di dalam proses mahkamah
Bagi beliau, penguatkuasaan seharusnya dijalankan selepas proses tersebut selesai.
"Isu (ladang durian haram) sudah berpuluh tahun, mengapa tidak boleh tunggu sebulan dua?" tanyanya.
Berhubung tindakan kerajaan Perikatan Nasional menggalakkan media pro kerajaan memainkan isu perkauman Cina - Melayu, Sim menganggap PN sudah bankrap politik dan hanya mahu mencetuskan ketegangan kaum.
Menurut beliau, bukan semua pekebun durian di Raub terdiri dari kaum Cina.
"Pekebun majoriti Cina tetapi ada minoriti Melayu.
"Kerajaan Negeri mewakili semua kaum dan bangsa. Syarikat ada pemegang saham (ladang durian juga ada) Melayu, Cina dan India.
"Yang makan durian Melayu, Cina, India. Ini sama sekali bukan soal perkauman," katanya lagi.
Comments