Isu kelemahan TH bukan serangan terhadap Melayu, Islam - Dr Abu Hafiz
- Helmi Mohd Foad

- 1 day ago
- 3 min read

Isu kelemahan tadbir urus Tabung Haji (TH) tidak boleh dibingkaikan sebagai serangan terhadap orang Melayu atau Islam kerana pihak yang perlu dipertanggungjawabkan adalah individu yang terbabit, demikian kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin.
Beliau berkata isu membabitkan institusi umat Islam itu sangat sensitif dan penggunaan bahasa yang tidak tepat hanya akan membuka ruang kepada pihak tertentu memutarbelitkan fakta serta mengalihkan perhatian daripada dapatan sebenar Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Justeru itu, katanya, pimpinan dan anggota KEADILAN perlu berhati-hati ketika memberikan penerangan kepada masyarakat khususnya dengan mengelakkan ungkapan yang boleh dianggap menyamaratakan kesalahan individu tertentu dengan keseluruhan orang Melayu.
"Saya dengar satu perkataan yang sangat tak sesuai... bila gunakan ayat yang salah, orang akan fokus kepada penggunaan ayat yang salah.
"Bila tadi saya dengar, ‘Melayu perompak’. Jangan guna perkataan macam itu. (Bukan) Pemimpin Melayu, (tetapi) sebahagian pemimpin Melayu.
"Kerana pihak sebelah sana dia tunggu sahaja benda ini nak berlaku. Dia akan guna dan jadikan masalah ini sebagai isu yang sangat besar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel program bedah siasat Laporan RCI Tabung Haji anjuran Wanita KEADILAN di Bangi malam tadi.
Program itu turut menampilkan Senator Jufitri Joha dan Ahli MPP KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail.
Menurut Abu Hafiz, anggota parti yang mahu turun menerangkan isu berkenaan kepada masyarakat perlu terlebih dahulu menguasai fakta dan maklumat terkandung dalam laporan RCI.
Kata beliau penerangan mengenai TH tidak boleh dibuat semata-mata berasaskan sentimen atau kemarahan kerana perkara itu boleh memberikan kesan sebaliknya kepada usaha meyakinkan masyarakat.
"Sebelum kita bercakap, memberikan penerangan, kita perlu ada maklumat. Kita tak boleh turun untuk berperang tanpa ada sebarang senjata. Ini paling penting.
"Kedua, apabila kita memberikan penerangan dalam keadaan ini, suasana sangat sensitif. Penggunaan bahasa mesti tepat," katanya.
Beliau berkata isu TH berada pada persimpangan penting kerana perkara berkaitan agama dan bangsa boleh dieksploitasi secara berlebihan, termasuk oleh kelompok yang mahu menjadikan dapatan RCI sebagai pertarungan politik Melayu dan Islam.
Abu Hafiz turut mengingatkan bahawa matlamat penerangan bukan sekadar untuk berdebat dengan penyokong tegar parti lawan sebaliknya bagi meyakinkan kelompok pengundi yang tidak mempunyai keterikatan kuat kepada mana-mana parti politik.
"Kita sebagai parti politik, kita perlu membina kefahaman itu dan sentimen itu berdasarkan fakta, bukan menakut-nakutkan.
"Majoriti daripada pengundi dia tidak ada parti politik... sebab itu di rangka awal saya letakkan dua syarat. Pertama, kita perlu ada maklumat. Maklumat itu sahih," katanya.
Dalam pada itu, Abu Hafiz berkata fakta mengenai kedudukan kewangan TH perlu diterangkan kepada masyarakat bagi menunjukkan skala sebenar masalah yang berlaku.
Menurut beliau, laporan berkenaan menunjukkan TH berdepan defisit RM3.086 bilion pada 2015 sebelum meningkat kepada RM4.131 bilion pada 2016 dan RM4.093 bilion pada 2017.
Beliau turut membangkitkan pemberian bonus kepada kakitangan yang menurut laporan RCI boleh mencecah maksimum 13 bulan gaji iaitu antara satu hingga 11 bulan selain tambahan dua bulan bonus khas.
Abu Hafiz berkata fakta sedemikian perlu dibawa kepada masyarakat secara tersusun supaya mereka dapat menilai sendiri apa yang berlaku terhadap institusi yang dibangunkan hasil simpanan umat Islam untuk menunaikan ibadah haji.
Beliau menegaskan pendekatan KEADILAN haruslah untuk memujuk dan memberikan penerangan, bukannya menyerang pihak yang mempunyai pandangan politik berbeza.
"Kita macam salesman (jurujual). Akhir sekali kita nak orang beli produk kita. Kita tak pergi ke orang hendak jual produk itu, kita tengking dia, marah dia. Sebab akhirnya dia takkan beli.
"Kita kena pujuk. Kita kena beritahu inilah hakikatnya," katanya.




Comments