Isu kekurangan guru selesai, kadar pengisian lebih 98 peratus
- Suara Keadilan
- 7 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Pendidikan (KPM) terus membuktikan komited untuk menangani isu kekurangan guru dalam negara yang dibangkitkan sebelum ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (gambar) berkata, dalam tempoh tiga tahun menerajui kementerian itu, hampir 53,000 orang guru baharu telah dilantik untuk mengisi kekosongan jawatan di sekolah di seluruh negara.
"Antara perkara utama yang saya beri tumpuan sedari awal khidmat di Kementerian Pendidikan adalah terkait dengan isu kekurangan guru.
"Alhamdulillah, hampir tiga tahun, hampir 53,000 orang guru baharu telah dilantik dengan kadar pengisian di sekolah-sekolah seluruh negara pada tahap tertinggi melebihi 98 peratus," kata Fadzlina dalam muat naik di Facebook.
Fadhlina pada Julai lalu memaklumkan isu kekurangan guru berjaya diatasi menerusi pelbagai mekanisme hasil pelaksanaan reformasi bersama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Sementara itu menerusi kenyataan sama Fadhlina berkata, kadar pengisian guru yang melebihi 98 peratus bukan sekadar angka statistik tetapi mencerminkan kesungguhan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh sistem pendidikan negara.
Justeru beliau merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan atas sinergi kerjasama yang signifikan untuk menoktahkan isu tersebut.





