
Isu buruh paksa yang berlarutan dan dikenakan sekatan ke atas sesetengah produk Malaysia oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah berlaku sejak berdekad dekad lamanya.
Menurut Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Manivanan Gowin, isu berkenaan seharusnya telah diselesaikan oleh pentadbiran BN bukannya dikeruhkan lagi oleh tindakan Menteri Sumber Manusia, M Saravanan baru baru ini yang menyalahkan kononnya kerajaan Pakatan Harapan lemah sebagai punca hal itu berpanjangan.
"Ada aktivis perjuangkan isu ini (amalan buruh paksa) dari tahun 1980-an lagi. Buruh paksa adalah isu turun temurun di Malaysia dan ia bukan sahaja melibatkan pekerja asing malah melibatkan pekerja tempatan.
"Kalau mengatakan 2018 (ketika kerajaan PH memerintah) sahaja isu buruh paksa wujud, itu adalah permainan menteri yang terbabit. Isu ini berkaitan keperimanusiaan dan ia tidak boleh dipolitikkan. Ia melibatkan hak asasi manusia dan hak asasi pekerja.
"Menteri ini, dia ada ruang dan peluang untuk selesaikan isu dan bawa dasar terbaik untuk menangani masalah ini, bukannya melepaskan batuk di tangga. Ini bukan masalah PH, ini dah wujud zaman Umno lagi," katanya ketika dihubungi.
Tegas Manivanan, isu yang tertunda itu hanya menunjukkan menteri yang menguruskannya tidak mempunyai kebolehan dalam pentadbiran mengarahkan kementeriannya menyiasat secara sistematik.
Katanya, Kerajaan Malaysia dalam pada itu perlu juga memperkenalkan pindaan undang undang agar lebih ketat di samping meningkatkan penguatkuasaan ke atas syarikat syarikat besar.
"Ada dua isu, yang pertama undang-undang pekerja perlu diperbaiki kerana ia adalah undang-undang lama dan tidak mengikut perkembangan semasa. Oleh itu, perbaiki mengikut saluran seperti undang-undang antarabangsa.
"Kedua, bagi saya undang-undang sedia ada cukup kawal isu buruh paksa, tetapi kalau penguatkuasaannya lemah tidak guna buat undang-undang baru," katanya.
Isu buruh paksa menyebabkan beberapa produk Malaysia, terutama sektor sawit disekat daripada memasuki pasaran AS baru baru ini dan menyebabkan kerugian kepada pemain industri tempatan.