top of page

Isu Azam Baki: Agenda sama, 'pembungkusan' berbeza - Lokman

  • 4 hours ago
  • 2 min read

Oleh: Akmal Manaf


Kerajaan Perpaduan terus menumpukan usaha kepada kebajikan rakyat dan pelaksanaan dasar meskipun berdepan gelombang serangan politik yang mengitar semula isu-isu lama termasuk membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam (gambar) menegaskan kerajaan tidak lumpuh dan Malaysia ‘tidak runtuh’ walaupun dalam tempoh 72 jam lalu ruang politik negara dibanjiri dengan laporan sebuah portal berita dari luar negara berkenaan hal hal dalaman SPRM.


Menurut beliau, laporan berkenaan yang disebarkan secara agresif di media sosial tempatan sebaliknya telah mencetuskan panik dan keresahan yang tidak perlu dalam kalangan masyarakat.


"Seperti dijangka, wajah-wajah yang sama kembali muncul. Rafizi Ramli dan beberapa bekas ahli KEADILAN pantas mengambil kesempatan, menumpukan serangan terhadap Azam Baki.


"BERSIH pula memberi isyarat kesediaan untuk menyahut seruan Rafizi. Pelakon yang sama, agenda yang sama cuma pembungkusan berbeza," katanya dalam satu kenyataan.


Lokman berkata, menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16, percaturan politik sememangnya sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan cubaan untuk menggugat kestabilan, mencipta keraguan, serta membina naratif bahawa Kerajaan MADANI itu korup bukanlah taktik baharu.


Namun tegas Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia itu, rakyat pada hari ini lebih matang dan krisis yang direka tidak lagi menggoncang asas sesebuah negara yang telah melalui badai yang jauh lebih besar beberapa tahun ini.


"Ketika sesetengah pihak sibuk mengapi-apikan perang persepsi, urus tadbir tetap berjalan. Kerajaan Perpaduan kekal utuh. Dasar terus dilaksanakan. Kestabilan tetap terpelihara.


"Menjelang ulang tahun ke-80, UMNO tidak bersikap angkuh, tetapi hadir dengan kejelasan. Lapan dekad ketahanan politik bukanlah suatu kebetulan. Ia dibina atas asas daya tahan serta kemampuan untuk menyesuaikan diri.


"Dan hari ini, walau sebesar mana kekalutan yang cuba dicipta oleh pembangkang, Malaysia memiliki sebuah kerajaan yang stabil dan progresif, dengan UMNO memainkan peranan signifikan di dalamnya," kata Lokman lagi.


Isu isu dalaman SPRM ditiupkan sekuatnya sejak beberapa minggu ini. Bagaimanapun Kerajaan Madani telah mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas yang diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar untuk melakukan siasatan ke atas Azam Baki bagi membersihkan namanya dan SPRM.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page