Israel ancam keamanan global, dunia perlu bersatu tentang pencerobohan
- Suara Keadilan

- Sep 10
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Wanita KEADILAN menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap insiden pengeboman di Doha, Qatar yang didakwa dilakukan oleh rejim Israel dengan menyeru masyarakat antarabangsa agar bersatu menentang sebarang bentuk pencerobohan terhadap kedaulatan negara.
Ketua Penerangannya Datuk Ginie Lim menyifatkan serangan itu bukan sahaja sebagai pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa malah ia menjadi ancaman kepada keamanan global.
"Pencerobohan ketenteraan oleh Israel ke atas wilayah berdaulat seperti Qatar jelas melanggar piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan tidak boleh diterima oleh mana-mana negara yang cintakan keamanan," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Ginie Lim menegaskan tindakan Israel yang selama ini tertumpu terhadap rakyat Palestin kini telah melebar menjadi ancaman kepada kestabilan rantau dan dunia secara keseluruhan.

Semalam dunia dikejutkan dengan serangan udara Israel ke atas sebuah kompleks kediaman di Leqtaifiya, Doha, ibu negara Qatar dengan menyasarkan pimpinan tertinggi Hamas yang sedang bermesyuarat untuk membincangkan cadangan gencatan senjata dimediasi oleh Amerika Syarikat.
Menurut laporan antarabangsa, sekurang-kurangnya enam individu terbunuh termasuk anak lelaki pemimpin kanan Hamas Khalil al‑Hayya, pengarah pejabatnya, tiga pengawal peribadi serta seorang pegawai keselamatan Qatar.
Serangan yang dilakukan oleh 15 jet pejuang itu telah mengejutkan banyak pihak termasuk sekutu-sekutu rapat Israel.
Kerajaan Qatar mengutuk keras tindakan tersebut manakala China dan Rusia menyifatkannya sebagai pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam kenyataan menyatakan bahawa beliau tidak menyokong tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah yang “tidak membantu kepentingan Israel atau Amerika.”
Dalam pada itu, Ginie Lim menegaskan Wanita KEADILAN mengecam tindakan ketenteraan berkenaan sebagai satu bentuk keganasan dan tindakan terorisme terhadap wilayah berdaulat.
"Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim dan biadab ini. Ia bukan sahaja menunjukkan keangkuhan rejim Zionis, tetapi juga memperlihatkan bahawa mereka kini menjadi ancaman bukan sahaja kepada rakyat Palestin, malah kepada seluruh dunia yang cintakan keamanan," tegasnya.
Wanita KEADILAN menyatakan solidariti penuh terhadap Qatar dalam menghadapi pencerobohan tersebut dan menyeru negara-negara antarabangsa untuk bertindak tegas dan konsisten dalam mempertahankan prinsip keadilan dan kedaulatan negara, kata kenyataan itu.
Ginie Lim juga menyeru agar semua negara bangkit mempertahankan keadilan dan menolak kezaliman serta terus memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada perjuangan rakyat Palestin yang masih dijajah.
"Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serangan sebegini adalah tidak dapat dipertahankan dan langsung tidak boleh ditoleransi," kata beliau.









Comments