top of page

Islamofobia berpunca dari sikap Pas, imej ekstrem, main sentimen kaum

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Kenyataan seorang pemimpin MCA yang mempertikai kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan membuktikan parti pembangkang itu menjadi punca kepada persepsi Islamofobia dalam kalangan kaum bukan Melayu.


Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil (gambar) berkata kenyataan Setiausaha Pemuda MCA, Saw Yee Fung itu menunjukkan MCA sendiri bimbang terhadap imej dan pendekatan Pas sehingga terpaksa meyakinkan pengundi bahawa BN tidak bekerjasama dengan parti itu ketika PRN Johor.


Beliau mendakwa keadaan itu bercanggah dengan situasi di Negeri Sembilan apabila MCA akhirnya berada dalam gabungan yang turut melibatkan Pas.


"Jelas menunjukkan bahawa Pas sebenarnya yang menyebarkan Islamofobia sehingga MCA terpaksa berkempen bahawa tiada kerjasama antara BN dan Pas dalam Pilihan Raya Negeri Johor.


"Ia sekali gus dilihat sebagai satu penipuan terhadap rakyat Johor kerana di Negeri Sembilan, MCA akhirnya bekerjasama dengan Pas," katanya dalam kenyataan hari ini.


Faiz mendakwa Pas merupakan sebuah parti yang tidak konsisten dalam membentuk kerjasama politik dan sanggup mengubah pendirian demi memperoleh kuasa.


Menurutnya, alasan penyatuan ummah yang sering dibawa Pas hanyalah retorik politik, sambil mendakwa parti itu sebelum ini meninggalkan Bersatu dan kini bekerjasama pula dengan Umno.


"Kestabilan politik tidak akan dapat diwujudkan kerana Pas hanya memilih kawan untuk kuasa dan bukannya prinsip. Agenda penyatuan umat hanyalah candu politik yang ditunggang oleh Pas," bidasnya.


Dalam hal ini beliau mengingatkan kerjasama politik antara Pas dan BN dijangka tidak mampu bertahan lama kerana tidak berasaskan prinsip yang jelas.


"Demi kuasa, Pas sanggup meninggalkan Bersatu tidak bertali dan sekarang berkawan pula dengan Umno. Oleh itu, kerjasama politik Pas-BN tidak akan kekal lama dan akhirnya akan berpecah yang mengakibatkan kesusahan kepada rakyat kerana ketidakstabilan politik," katanya.


Faiz turut mengimbas kerjasama Pas dengan DAP dalam Pakatan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum 2008, apabila parti itu bersama-sama membentuk kerajaan negeri di Perak, Selangor dan Pulau Pinang.


Beliau berkata ketika itu Pas mempertahankan kerjasama berkenaan walaupun berbeza ideologi dengan DAP, namun kini mengambil pendirian bertentangan apabila bekerjasama dengan MCA tetapi menolak sebarang hubungan dengan DAP.


Mengulas dakwaan Presiden Pas Hj Hadi Awang bahawa Pakatan Harapan (PH) menjadi punca penyebaran Islamofobia, Faiz menolak tuduhan tersebut dan sebaliknya mendakwa imej itu berpunca daripada pendekatan Pas sendiri.


"Hakikatnya, pendekatan Pas yang ekstrem menyebabkan parti bukan Melayu seperti MCA takut kepada Pas.


"Presiden Pas seperti terlupa bahawa Pas yang selalu memainkan isu sentimen agama, menimbulkan bibit kebencian kaum dan sering membuat kenyataan yang bersifat ekstrem yang mana perkara-perkara ini telah mewujudkan Islamofobia di dalam negara," katanya.


Beliau mengakhiri kenyataannya dengan menyifatkan Pas sebagai pihak yang menyalahkan orang lain terhadap isu berkenaan.


"Sikap Pas tidak ubah seperti pepatah Arab, 'Dia yang pukul, dia yang menangis'. Itulah sikap Pas yang selalu menyalahkan orang lain sedangkan Islamofobia itu berpunca daripada sikap Pas sendiri," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page