Islam 'terancam' kerana ghuluw perjuangan Pas - BiPPA
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 1 min read

Pas terus menjadi sasaran kritikan apabila pendekatan kepimpinan parti itu dalam membawa agenda Islam semakin memperlihatkan unsur ghuluw atau ekstremisme yang boleh merosakkan pemikiran rakyat.
Sehubungan itu, Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) KEADILAN, Amidi Abdul Manan (gambar) mengingatkan agar rakyat Malaysia tidak ‘tertukar’ antara konsep ‘ghayah’ (matlamat) dengan ‘wasilah’ (alat).
Beliau berkata, Islam merupakan matlamat (ghayah) manakala politik ialah alat (wasilah) dan jika Islam dijadikan alat, segala kesucian dan kemuliaan agama itu akan tercemar.
Amidi berkata demikian dalam hujah menolak slogan terbaharu 'sokong Pas masuk syurga' sebagaimana perbincangan yang tular di media sosial ketika ini.
"Kesanggupan menjadikan agama Islam sebagai tunggangan dan syurga sebagai tukaran sokongan adalah bukti jelas 'keghuluwan' pada kepimpinan Pas hari ini.
"Ghuluw adalah ancaman yang jelas kepada Islam. Ia jauh lebih bahaya daripada ancaman lain. Islam terancam di Malaysia kerana ekstremisme yang didukung oleh Pas," kata beliau dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama, Amidi juga berkata, umat Islam tidak akan berkongsi syurga dengan Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP).
Meskipun individu tersebut menerima perjuangan Islam ala Pas, namun ujarnya selagi belum melafazkan syahadatain dan menerima Islam sepenuhnya, tiada syurga yang boleh ‘ditawarkan’ oleh Pas kepadanya.
"Islam yang terkandung padanya keadilan, kemuliaan insan, dakwah, nilai sejagat yang membawa kesejahteraan kepada seluruh makhluk, adalah matlamat perjuangan, bukannya alat yang boleh bertukar ganti mengikut selera kita," kata beliau membidas parti berkenaan.




Comments