Intuitive Surgical pilih Malaysia, kejayaan tarik pelaburan RM2 bilion di P Pinang
- Redzuan Shamsudin

- Aug 16
- 2 min read

Syarikat robotik perubatan terkemuka dunia, Intuitive Surgical, memilih Malaysia sebagai lokasi kemudahan pengeluaran utama mereka di luar Amerika Syarikat dan China dengan pelaburan sebanyak RM2 bilion.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin (gambar) berkata, pelaburan itu akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun dan membabitkan pembinaan kemudahan bertaraf dunia di Pulau Pinang.
Beliau berkata, kejayaan membawa pelaburan itu ke Malaysia bermula dengan usaha terakhir ketika syarikat berkenaan masih mempertimbangkan beberapa negara lain.
"Ini kisah benar.
"Pada Januari 2026, saya menerima panggilan daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) InvestPenang, DS Loo Lee Lian.
'Boleh datang ke Pulau Pinang untuk bertemu dengan seorang pelabur? Pelabur ini sedang mempertimbangkan negara lain dan saya mahu anda membantu membuat pembentangan terakhir'
"Pada ketika itu, saya baru sahaja lebih kurang sebulan memulakan tugas baharu sebagai Timbalan Menteri MITI Malaysia. Tanpa berlengah, saya membeli tiket penerbangan pulang ke Pulau Pinang, bertemu dengan mereka selama dua jam sebelum kembali semula ke Kuala Lumpur," katanya dalam muat naik di media sosial.

Tze Tzin berkata, InvestPenang telah berusaha selama lapan tahun untuk menarik pelaburan Intuitive Surgical ke Pulau Pinang.
Intuitive Surgical merupakan syarikat robotik perubatan paling maju di dunia.
Justeru, kata beliau, semua usaha perlu dilakukan bagi memastikan projek tersebut berjaya.
"Keesokan harinya, saya mengatur satu pertemuan peringkat tinggi antara Intuitive Surgical dan pegawai kanan MITI bagi menyelesaikan beberapa salah faham dalam komunikasi," katanya.
Beliau berkata, selepas tujuh bulan membuat pertimbangan, Intuitive Surgical akhirnya memilih Malaysia sebagai lokasi kemudahan pengeluaran utama mereka di luar Amerika Syarikat dan China.
"Mereka akan melabur sebanyak RM2 bilion (di Pulau Pinang) untuk membina kemudahan bertaraf dunia secara berperingkat dalam tempoh lima tahun," katanya.
Menurut Tze Tzin, syarikat berkenaan kelmarin turut menandatangani perjanjian jual beli (S&P) untuk pembelian tanah seluas 40 ekar di Taman Perindustrian Batu Kawan.
Beliau berkata, pelaburan tersebut akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai antara hab pengeluaran peranti perubatan utama dunia.
"Ramai mungkin tidak tahu bahawa Malaysia kini merupakan antara lima hab pengeluaran peranti perubatan terkemuka dunia, bersama-sama Amerika Syarikat, China, Ireland dan Costa Rica.
"Malaysia mengeksport peranti dan peralatan perubatan bernilai RM37 bilion setahun," katanya.
Sim berkata pelaburan Intuitive Surgical itu dijangka melonjakkan lagi keupayaan negara dalam sektor pengeluaran peralatan perubatan berteknologi tinggi.
Mengimbas kembali usaha membawa pelaburan tersebut ke Malaysia, Tze Tzin menyifatkan ia sebagai satu usaha terakhir yang mencabar namun akhirnya membuahkan hasil.
"Jika dikenang kembali, usaha terakhir itu benar-benar cukup sengit dan saya amat berbangga kerana ia akhirnya membuahkan hasil.
"Terima kasih kepada bekas TKSU MITI, Datuk Bahria, MIDA, InvestPenang dan semua pihak yang bekerja keras bagi memastikan kejayaan ini," katanya lagi.
Ahli Parlimen Bayan Baru itu menyifatkan kejayaan tersebut sebagai antara pencapaian terawal beliau selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri MITI.




Comments