
Menteri Komunikasi Digital, Ahmad Fahmi Fadzil akan memberi fokus terhadap 3 isu utama yang diperjuangkan Pakatan Harapan selama ini, iaitu berhubung jaringan internet 5G, penipuan dalam talian yang kurang penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta keselamatan data peribadi rakyat yang beberapa kali dilaporkan telah diceroboh.
Beliau yang memasuki pejabat pada hari pertama hari ini berkata hal tesebut akan cuba diselesaikan segera.
Namun pada waktu ini beliau akan bertemu wakil aplikasi TikTok Malaysia untuk menyelesaikan isu mesej merbahaya terkait rusuhan 13 Mei 1969 dan sebagainya yang dimainkan oleh PN dalam kempen pilihan raya lalu.
"Kita akan mulakan pertemuan ini sebab sebaran video TikTok mengenai peristiwa 13 Mei sangat merisaukan. InshaAllah kita akan jemput penyedia perkhidmatan media sosial yang lain dalam masa terdekat," katanya dipetik Bernama.
Mengenai belanjawan kementerian pula Fahmi berkata, beliau akan menelitinya sama ada akan memberi cadangan baharu dalam bajet yang akan dibentangkan oleh Kerajaan Perpaduan kelak.
"Mengenai bajet, ia ada dibangkitkan dalam taklimat tadi. Saya perlu dapatkan perincian daripada Kementerian kerana saya perlu faham untuk dapatkan gambaran menyeluruh," katanya.